Perbelanjaan 'one-off' tak salah tapi KWSP perlu tahu punca pencarum guna Akaun Fleksibel — Pakar


  • Massa
  • Selasa, 14 Mei 2024

Majoriti mereka yang tampil di pejabat KWSP pada Isnin difahamkan bertujuan bagi melakukan permohonan  melakukan pemindahan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel atau Akaun 3. — Gambar hiasan

SUSULAN daripada langkah pengenalan Akaun Fleksibel pada Ahad lalu, pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di beberapa tempat di seluruh negara dilaporkan menerima jumlah kehadiran pengunjung yang luar biasa.

Majoriti mereka yang tampil tersebut difahamkan bertujuan bagi melakukan permohonan melakukan pemindahan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel atau Akaun 3.

KWSP pada 25 April lalu mengumumkan langkahnya menstrukturkan semula akaun pencarum dengan memperkenalkan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel yang membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan.

BACA LAGI: Tak termakan isu perkauman, agama bukti Umno berjaya pujuk pengundi bantu tawan KKB

BACA LAGI: Pejabat KWSP sesak kerana akaun fleksibel, bukti rakyat terdesak, kesempitan

Langkah mewujudkan akaun baharu selain daripada Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera itu antara lain bagi yang menyediakan fleksibiliti bagi keperluan kewangan jangka pendek dengan tarikh pendaftarannya mula dibuka sejak Ahad.

Dalam pada itu, di media sosial, rata-rata daripada warganet berpandangan kebanjiran pencarum yang tampil di pejabat KWSP itu secara langsung memberikan gambaran mengenai tahap kewangan rakyat Malaysia yang disifatkan berada di tahap membimbangkan.

Malah, mereka juga beranggapan bahawa situasi itu sekali gus membuktikan bahawa masyarakat ketika ini masih dihimpit dengan tekanan kewangan ekoran keadaan semasa ekonomi di dalam negara.

2688517

KWSP pada 25 April lalu mengumumkan langkahnya menstrukturkan semula akaun pencarum dengan memperkenalkan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel.

Mengulas mengenai perkara tersebut, penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada pencarum sememangnya berada dalam keadaan terdesak sehingga memaksa mereka perlu memanfaatkan inisiatif tersebut dengan memindahkan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

"Tapi kita tidak boleh kata 100 peratus mereka ini benar-benar terdesak, sebab pertama ada juga yang mahu gunakan untuk masalah lain, cuma sebahagiannya sahaja mungkin terdesak," katanya kepada Majoriti.

Dengan mengambil kira petunjuk ekonomi di dalam negara seperti kadar inflasi dan kawalan harga barangan keperluan, impaknya terhadap kewangan rakyat disifatkan masih terkawal.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebahagian besar daripada mereka yang membuat pilihan memindahkan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel berkemungkinan melakukannya untuk melakukan perbelanjaan yang bersifat 'one-off'.

"Jadi, saya melihat kemungkinan faktor pengeluaran ini adalah untuk memenuhi faktor kewangan bukan bersifat berterusan. Mungkin mereka perlu selesaikan perbelanjaan yang bersifat 'one-off' bayar hutang contohnya," kata beliau.

Menurut Ahmed Razman, perbelanjaan sedemikian disifatkan tidak menyalahi tujuan asal pengenalan Akaun 3 berkenaan dengan mengambil kira perubahan terhadap keperluan kewangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berpandangan KWSP perlu melaksanakan tinjauan sendiri untuk mengenal pasti faktor sebenar menyebabkan pencarum mengambil keputusan mengeluarkan wang mereka daripada Akaun Fleksibel.

"Memang kita lihat pola pekerjaan telah berubah, maknanya keperluan pun telah berubah. Contohnya ramai kini yang kerja secara freelance (pekerja bebas).

"Ini bermakna keperluan kewangan mereka memang memerlukan kepada satu akaun yang membolehkan mereka keluarkan wang bila-bila masa. Jadi pelbagai faktor ini semua perlu dikenal pasti oleh KWSP.

"Sebabnya KWSP mungkin boleh merancang memperkenalkan inisiatif seperti ini, tapi situasi sebenar keadaan kewangan dan keperluan pencarum itu mungkin dia tidak tahu," ujarnya yang juga Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Putra Business School. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram