PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau akan menyampaikan Perutusan Negara pada pukul 9 malam Rabu.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata, program tersebut akan digunakan bagi memberikan penerangan dan pencerahan terhadap pelbagai isu dalam dan luar negara.
Perutusan Negara itu akan disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan.
BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR
BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel
Pada Rabu, Anwar difahamkan akan terlebih dahulu mempengerusikan mesyuarat Kabinet bersama anggota jemaah Menterinya.
Dalam pada itu, dengan mengambil kira perkembangan semasa berlaku di dalam negara, terdapat beberapa isu berkemungkinan disentuh oleh Anwar semasa ucapan tersebut.
Antara yang menjadi tumpuan pastinya mengenai pelaksanaan subsidi bersasar khususnya melibatkan bahan api petrol yang sebelum ini dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.
Anwar sebelum ini menerusi beberapa siri kenyataannya masih berteka-teki mengenai tempoh waktu perkara tersebut bakal dilaksanakan meskipun beliau pada masa sama menegaskan langkah itu tidak akan membebankan rakyat.
Program rasionalisasi subsidi dijangka dilaksanakan bermula pada tahun ini. — Gambar hiasan
Pada masa sama, rakyat juga masih menantikan mengenai kaedah bakal digunakan kerajaan untuk mengagihkan semula penjimatan daripada langkah tersebut dan seterusnya memberikan manfaat kepada kumpulan yang memerlukan.
Anwar pada Oktober tahun lalu berkata, kerajaan sedang mempertimbang pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pemberian atau pemindahan tunai.
Beliau, bagaimanapun berkata pendekatan itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua jenis subsidi.
Pada masa sama, di media sosial, rakyat turut mengharapkan agar Perutusan Negara itu akan turut mengumumkan pemberian insentif kewangan kepada pekerja di Malaysia, antaranya menerusi pemberian rebat 'one-off' terhadap pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Langkah terbabit menurutnya boleh dilakukan dengan pemberian rebat RM200 ke Akaun Fleksibel atau Akaun 3 bagi pencarum yang jumlah simpanan di Akaun Sejahteranya berada di bawah RM5,000.
Sementara itu, turut menjadi tumpuan pastinya berhubung dengan isu tahap keselamatan negara khususnya susulan daripada beberapa serangan di tempat awam dan termasuk di Balai Polis Ulu, Tiram, Johor Bahru, Johor pada minggu lalu.
Terdahulu, pada awal Mei, tiga pemain bola sepak di dalam negara diserang oleh individu tidak dikenali dengan dua daripadanya mengalami kecederaan fizikal termasuk pemain utama skuad Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid.
Anwar (kiri) ketika Mohammed Bin Salman pada 29 April lalu. — Facebook/AnwarIbrahim
Manakala tragedi serangan di Balai Polis Ulu Tiram turut mengorbankan dua anggota polis negara iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24.
Dalam pada itu, di peringkat antarabangsa pula, Anwar dijangka akan mengumumkan hasil kunjungan rasmi yang dilakukannya ke luar negara baru-baru ini.
Selain Qatar, Anwar pada bulan ini turut melakukan lawatan rasmi ke tiga negara Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan.
Anwar ketika berkunjung ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) turut berkesempatan bertemu Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Bin Salman Al-Saud pada 29 April lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram