Akaun Fleksibel: KWSP terima lebih 2 juta permohonan melibatkan RM8.78 bilion


  • Bizz
  • Isnin, 27 Mei 2024

Ahli diberi pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel. — Gambar hiasan

SEBANYAK 2.86 juta permohonan pindahan amaun permulaan diterima dan dipindahkan daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel melibatkan jumlah sebanyak RM8.78 bilion setakat 22 Mei lalu.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, pilihan itu dibuka kepada ahli bermula 12 Mei 2024.

Sementara itu, pengurus dana persaraan itu berkata, sebanyak 3.04 juta permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel telah diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM5.52 bilion.

BACA LAGI: Penstrukturan semula 3 Akaun KWSP bermula 11 Mei depan

BACA LAGI: Tergesa-gesa mohon FSA2 KWSP nak pakai raya, jangan sampai tertipu khidmat i-Cagar di Facebook

kwsp2

Pilihan itu dibuka kepada ahli pada 12 Mei 2024. — Gambar hiasan

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, jumlah permohonan untuk pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel dijangka terus meningkat sehingga tarikh tutup, iaitu pada 31 Ogos 2024.

“Kami juga gembira melihat peningkatan ketara permohonan melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun.

"Ini mencerminkan usaha kami untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna, di samping terus berinovasi dan mengembangkan penawaran digital,” katanya.

Bermula 12 Mei hingga 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Pemindahan amaun awal ke Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan dibuat.

Pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan dengan pengeluaran minimum RM50. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram