Penstrukturan semula 3 Akaun KWSP bermula 11 Mei depan


  • Primer
  • Khamis, 25 Apr 2024

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan, iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel. — Gambar hiasan

INISIATIF Penstrukturan Semula Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mula berkuatkuasa pada 11 Mei depan dengan semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Di bawah inisiatif ini, Akaun Persaraan adalah bertujuan mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan sementara Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan manakala Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu yang menyediakan fleksibiliti bagi keperluan kewangan jangka pendek.

Dengan pelaksanaan tersebut, baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera sementara Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata, semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan, iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

"Tempoh antara 11 Mei dan 31 Ogos, ahli KWSP akan mempunyai pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini Akaun 2) sebagai jumlah permulaan kepada Akaun Fleksibel," kata dana persaraan itu pada Khamis.

Ahli KWSP hanya boleh memilih untuk membuat pemindahan amaun awal ke Akaun Fleksibel bermula dari tarikh berkuat kuasa sehingga 31 Ogos dan penyertaan selepas itu tidak boleh dibatalkan.

BACA LAGI: Tergesa-gesa mohon FSA2 KWSP nak pakai raya, jangan sampai tertipu khidmat i-Cagar di Facebook

EPF's member at the Shah Alam branch on March 04 for story on EPF declared the dividend for 2023.—AZMAN GHANI/The Star

Ahli yang ingin mengambil manfaat daripada inisiatif ini boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Terminal Layan Diri di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Dividen konvensional KWSP perlu 'dicuci', tegas pakar kewangan Islam

Jika ahli memilih untuk ikut serta, dana akan dipindahkan ke dalam Akaun 3 mereka dalam masa 24 jam. Mereka kemudiannya perlu memasukkan butiran bank dan nombor telefon digunakan untuk mengeluarkan wang.

“Sekiranya ahli memilih untuk tidak ikut serta bagi jumlah permulaan, tiada pemindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

"Akaun Fleksibel akan bermula dengan sumbangan baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan," tambahnya.

Sekiranya ahli memilih untuk ikut serta bagi menyediakan jumlah permulaan, pemindahan jumlah permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan ikut serta dibuat.

"Permohonan untuk pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara," katanya.

"Ahli boleh mengakses sistem sepenuhnya pada 12 Mei," tambahnya.

Ahli yang ingin mengambil manfaat daripada inisiatif ini boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Terminal Layan Diri di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Bagi mereka yang mempunyai lebih daripada RM3,000 dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2), satu pertiga daripada baki simpanan mereka akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel manakala satu perenam akan dipindahkan ke Akaun Persaraan (Akaun 1).

Baki selebihnya akan disimpan dalam Akaun Sejahtera.

Bagi mereka yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, jumlah penuh akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

Pada masa sama, untuk mereka yang mempunyai baki lebih daripada RM1,000 dan kurang daripada RM3,000, jumlah yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel ialah RM1,000, dengan bakinya disimpan dalam Akaun Sejahtera.

"Tiada pengagihan akan dibuat kepada Akaun Persaraan untuk baki simpanan di bawah RM3,000," jelas kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram