Tergesa-gesa mohon FSA2 KWSP nak pakai raya, jangan sampai tertipu khidmat i-Cagar di Facebook


  • Bizz
  • Khamis, 28 Mac 2024

Permohonan FSA2 antara inisiatif KWSP bagi membantu ahli yang memerlukan penggunaan wang dalam keadaan genting.

KIRA-KIRA dua minggu lagi Syawal bakal tiba, pastinya ramai mahu membuat persiapan untuk menyambut hari kemenangan buat umat Islam itu dengan gembira.

Memandangkan persiapan hari raya menelan belanja yang besar lebih-lebih lagi buat orang berkeluarga, ada yang melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan duit lebih.

Ada yang membuat kerja sampingan dan tidak lupa ada juga yang mengambil jalan singkat dengan membuat pembiayaan peribadi.

Bahkan ada juga sebahagian orang yang mengeluarkan wang simpanan termasuk membuat permohonan Pinjaman Cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pinjaman yang lebih dikenali sebagai Fasiliti Sokongan Dua (FSA2) adalah satu kemudahan bertujuan untuk membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

BACA LAGI: Tak perlu guna orang tengah, sewa antara sebab harga makanan bazar di kampung lebih murah berbanding bandar

fasiliti-sokongan-pengeluaran-kwsp-2023-1024x1024

FSA2 yang dibuka kepada ahli KWSP.

Permohonan FSA2 yang dipercayai semakin meningkat menjelang raya itu sekali gus membuatkan orang ramai mudah termasuk dalam perangkap penipuan atau scam secara dalam talian dengan menggunakan nama i-Cagar.

Rata-rata warga maya dilihat terlalu cepat mempercayai tawaran perkhidmatan mengeluarkan wang melalui i-Cagar kerana tergesa-gesa untuk berbelanja barangan hari raya Aidilfitri.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti di Facebook, terdapat beberapa kumpulan ditubuhkan untuk menjalankan kegiatan itu.

BACA LAGI: 'Jual murah pun tak laku', rupanya ramai peniaga 'fizikal' nyawa-nyawa ikan cari rezeki Ramadan tahun ini

Screenshot (645)

Kumpulan Facebook yang mengelirukan ramai berhubung FSA2.

Lebih parah apabila lebih 20,000 pengikut serta ada di antaranya yang mempercayai tawaran berkenaan.

Antara taktik digunakan adalah dengan memuat naik hantaran berkenaan servis mengeluarkan wang daripada Akaun Dua dikatakan seperti FSA2 dengan syarat yang mudah.

"Raya dah dekat, banyak pakai duit. Jom kami bantu pengeluaran KWSP. Syarat dah berhenti mencarum, berumur 40 hingga 54 tahun, baki jumlah minimum RM150,000. Berminat mesej," tulis seorang pengguna Facebook Hafiz Fiz Adam.

Walaupun ia mempunyai persamaan, namun pengguna Facebook diingatkan supaya tidak keliru dengan apa yang ditawarkan di media sosial dengan FSA2 KWSP.

Ini kerana kriteria i-Cagar tidak selari dengan syarat yang ditetapkan oleh KWSP. Semak syarat-syarat KWSP seperti berikut:

1. Ahli KWSP warganegara Malaysia yang berumur 40 – 54 tahun (Fasa Satu)

2. Warganegara Malaysia

3. Permohonan adalah sekali sahaja

4. Permohonan tidak boleh dibatalkan setelah diluluskan

5. Amaun simpanan minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP

6. Amaun maksimum bagi pengeluaran bersyarat tidak melebihi RM50,000

7. Amaun pengeluaran akan dibayar kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur pilihan pengeluaran antara usia 50 hingga 55 tahun, mengikut pilihan umur pengeluaran ahli

8. Memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh institusi perbankan yang dimohon

9. Ahli hendaklah menjalani Penilaian Kesedaran Kewangan dengan institusi perbankan sebelum membuat keputusan untuk mengambil pembiayaan peribadi

fasiliti-sokongan-pengeluaran-kwsp-2023-b-1024x1024

Garis panduan yang betul daripada KWSP.

Pemohon turut perlu memahami bahawa sekiranya amaun pengeluaran dari Akaun 2 tidak mencukupi untuk membayar baki pembiayaan peribadi kepada bank, ahli perlu menjelaskan baki amaun pembiayaan peribadi itu menggunakan wang sendiri.

Terdapat lima bank yang mengambil bahagian dalam FSA2 iaitu MBSB, Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, CIMB dan Bank Muamalat.

Pelaksanaan kemudahan yang diluluskan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan yang ketika itu ialah Timbalan Menteri Kewangan I, melibatkan jumlah pembiayaan maksimum RM50,000 (tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP) serta tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.

Permohonan FSA2 juga dibuka dalam tempoh setahun bermula daripada tarikh pelaksanaan iaitu 7 April 2023 dan dipercayai dijangka akan tamat pada April 2024.

Ahli KWSP boleh melayari https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon, serta soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti itu.

Pihak KWSP juga menegaskan kepada orang ramai agar tidak mudah mempercayai perkhidmatan meragukan di media sosial bagi mengelakkan masalah kehilangan wang simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram