PRK Sungai Bakap: BN sedia bantu calon Pakatan Harapan


  • Politik
  • Sabtu, 22 Jun 2024

Mohamad berkata, jentera parti khususnya UMNO dilihat telah bersedia dan bersemangat untuk bertemu pengundi bagi memastikan kemenangan memihak kepada calon PH, Dr Joohari Ariffin.

TIMBALAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mahu jentera parti bertemu seramai mungkin pengundi bagi membantu calon parti gabungan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau berkata jentera parti khususnya UMNO dilihat telah bersedia dan bersemangat untuk bertemu pengundi bagi memastikan kemenangan memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin.

BACA LAGI: SPR tubuh 2 pasukan penguat kuasa kempen PRK Sungai Bakap

BACA LAGI: Calon PN-PH bertembung di Sungai Bakap

"Saya telah berjumpa jentera parti dan menerangkan gerak kerja perlu dilakukan, kalau boleh jentera parti mengeluarkan (memastikan keluar mengundi) lebih 5,000 daripada 13,000 pengundi Melayu di situ...ia sudah memadai.

"Usaha ini juga satu latihan bagi BN khususnya UMNO untuk mengukur sejauh mana ahli kita sudah sejuk hati kepada parti, ini penting juga kerana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon kita (sokong) di Sungai Bakap ini kalah, dulu kawasan itu (pernah menjadi) kubu kuat BN," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan mangsa banjir di Kampung Paroi di Negeri Sembilan pada Sabtu.

Mohamad berkata, Johari daripada parti PKR merupakan seorang doktor falsafah dan sebagai anak jati di kawasan itu, calon itu sangat dihormati oleh penduduk setempat.

"Saya lihat pagi tadi, reaksi orang ramai baik, tetapi kita tidak tahu dalam pilihan raya macam-macam boleh berlaku, kadang-kadang pengundi dipengaruhi oleh isu, jadi saya berjumpa dengan jentera BN menerangkan gerak kerja yang patut mereka lakukan," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala 6 Julai ialah hari mengundi.