POLIS menyiasat satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli melibatkan seorang pelajar ditampar dua pelajar perempuan yang lain di sebuah sekolah menengah baru-baru ini.
Insiden itu dipercayai berlaku di Kerian, Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dilakukan selepas menerima laporan daripada pelajar perempuan berusia 13 tahun yang juga mangsa pada Selasa.
BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri
"Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.30 pagi, 14 Jun lalu yang mana pelajar Tingkatan Satu itu ditampar dua pelajar perempuan berusia 15 tahun.
"Dalam kejadian itu, suspek telah membawa mangsa ke tandas dan dia bersama seorang lagi rakannya menampar mangsa berulang kali dan merakam video kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Aku percaya dik, satu dunia akan kenal ko nanti. pic.twitter.com/Bwm2VOaJYk
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) June 25, 2024
Jelas beliau, kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suspek terhadap mangsa.
"Mangsa dikatakan rapat dengan teman lelaki suspek yang juga berusia 15 tahun di sekolah berkenaan.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes tersebut dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-7212222 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram