KERIANGAN seorang kanak-kanak lelaki mandi sungai bertukar tragedi apabila dilaporkan maut dibaham buaya di Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay, Sandakan, Sabah pada petang Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Sainkui berkata, mayat Mohd Radhi Randi, 9, ditemukan orang kampung pukul 3.05 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa mandi.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 12.16 tengah hari berhubung kejadian terbabit.
"Susulan itu, sepasukan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Alan Ayuh bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: 'Bukan kehilangan tapi kita memulangkan', isteri reda rangka ditemui milik Muhammad Syafiq
Saksi kejadian sempat merakamkan detik penemuan mayat tersebut dan video itu tular di laman sosial.
Ujar Alan, pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa menggunakan kaedah mencari di permukaan air.
Operasi SAR itu difahamkan turut dibantu anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram