SEORANG lelaki berkongsi kesedihannya selepas terkandas bersama jenazah bapa mentuanya akibat kerosakan van ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Bongawan, Papar, Sabah pada Ahad.
Jelas Mohd Ariff Ahmad menerusi hantaran di laman Facebook, bapa mentuanya meninggal ketika dalam perjalanan dan laluan kawasan pendalaman menyukarkannya untuk menerima bantuan orang ramai.
Malah, pemilik akaun tersebut juga telah membuat video secara langsung berdurasi lebih 40 minit mengenai keadaannya yang sedang terkandas di simpang jalan Kota Belud bersama jenazah bapa mentuanya.
BACA LAGI: Ada komplot promosi 'kartel jenazah' berbanding khidmat percuma, persatuan minta campur tangan polis
"Al-Fatihah untuk bapa mentua, baru mahu bawa di kampung bersama kami, rupanya meninggalkan kami semua.
"Kami dari Sandakan dalam perjalanan pulang ke Bongawan, pam brek bocor dan (kami) terkandas beberapa jam di sini. Kami berdua saja sekarang dan situasi ini membuatkan air mata saya mengalir," tulisnya.
Dalam perkembangan terbaharu yang dikongsikan di Facebook, Mohd Ariff Ahmad menjelaskan bahawa pihak Hospital Tuaran telah sampai di tempat kejadian dan hanya mengesahkan kematian bapa mentuanya, namun tidak membawa jenazah ke hospital terlebih dahulu.
"Sementara itu, pihak hospital juga memberitahu agar mengurus sendiri van jenazah, lalu mereka beredar dari tempat kejadian.
"Setelah itu, saya menghubungi rakan saya yang bernama Azhari Jaafar untuk menghubungi van jenazah yang berhampiran dengan lokasi kejadian.
"Setelah dua jam setengah menunggu, maka datanglah kereta jenazah dari kampung Ketiau, Putatan, membawa jenazah pulang ke Bongawan untuk diuruskan dan dikebumikan oleh keluarga yang berada di Bongawan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram