[VIDEO] Jumpa tangan putus, polis Perak percaya angkara pergaduhan 2 gengster dadah


  • 112
  • Isnin, 24 Jun 2024

Pasukan bomba berusaha memadamkan api dalam insiden kebakaran sebuah kereta sekitar Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak pada Isnin.

PENEMUAN tangan putus berhampiran insiden kebakaran sebuah kereta sekitar Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak pada Ahad dipercayai berpunca dipercayai berpunca akibat pergaduhan perebutan kawasan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.03 pagi itu, tiga lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 30 tahun dilaporkan cedera parah selepas diserang lebih 20 individu bertopeng dan bersenjata.

Menurutnya, kini tiga mangsa itu sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak.

BACA LAGI: [VIDEO] Dakwa tersalah masuk gear, pemandu Saga cabut lari lepas rempuh bas di Plaza Tol Tanjung Malim

BACA LAGI: [VIDEO] Didakwa tidak patuhi SOP sembelihan, gadis melambung ke udara ditanduk lembu korban

Katanya, setakat ini polis sudah merakam percakapan tiga individu parah terbabit yang masing-masing mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, putus pergelangan tangan kiri, dan putus urat tapak tangan kiri susulan insiden pergaduhan tersebut.

"Rakaman percakapan semua mangsa sudah diambil dengan menyatakan mereka diserang oleh seramai lebih kurang 20 lelaki tempatan yang memakai topeng serta bersenjatakan kayu dan parang.

"Pergaduhan sehingga menyebabkan cedera parah itu dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan dadah," katanya dalam kenyataan pada Ahad malam.

Katanya lagi, bagaimanapun tindakan pantas polis berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki berumur antara 23 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan dengan ketiga-tiga mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin untuk permohonan reman.

"Polis sedang giat mengesan suspek-suspek yang masih bebas, Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini digesa tampil memberi keterangan dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Ghazali di talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram