Dipercayai untuk lakonkan semula kejadian, ibu bapa Zayn Rayyan dibawa polis ke Blok R


  • 112
  • Isnin, 10 Jun 2024

Kes kematian Zayn Rayyan menjadi topik perbualan hangat orang ramai sehingga hari ini.

IBU dan bapa kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mateen dibawa ke rumah mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin, dipercayai bagi melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak malang tersebut.

Memetik laporan Malaysia Gazette, pemantauan di lokasi perumahan Blok R itu mendapati suspek wanita itu dibawa polis sekitar pukul 10.15 pagi menaiki van putih tertera logo rasmi Polis Diraja Malaysia menuju ke kediaman tersebut.

Difahamkan, suspek akan dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari Blok R, dipercayai bertujuan melakonkan semula kejadian tersebut sehinggalah mayat anak malang itu ditemui pada 9 10 malam 6 Disember lalu.

BACA LAGI: Masih suspek bukan tertuduh, peguam buat permohonan kedua jumpa ibu bapa Zayn Rayyan

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: Ada percanggahan keterangan dengan saksi punca polis sambung reman ibu bapa mangsa

WhatsApp Image 2024-06-10 at 12.28.24

Ibu dan bapa kepada mangsa ditahan bagi membantu siasatan.

Sepasukan polis di lokasi kejadian juga dilihat membawa patung kanak-kanak, namun tidak dapat dipastikan tujuan sebenar patung itu dibawa ke lokasi kejadian.

Jumaat lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan polis melanjutkan semula tempoh reman selama enam hari sehingga 13 Jun ini ke atas pasangan suami isteri itu bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan.

Pasangan itu dibenarkan untuk sambung reman oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi Jumaat lalu.

Suami isteri yang masing-masing berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pasangan itu ditahan polis pukul 11 pagi di rumah keluarga mereka di Puncak Alam, 31 Mei lalu.

Dalam kejadian pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam.

Laporan bedah siasat mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa sebelum kertas siasatan dibuka dan diklasifikasi sebagai bunuh di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram