Ada keterangan sudah direkod, nasib ibu bapa Zayn Rayyan akan diketahui Khamis


Terdapat pendedahan dibuat di bawah Akta Keterangan 1950, namun tidak diketahui siapakah yang berbuat demikian.

NASIB ibu bapa kepada kanak-kanak autisme yang meninggal dunia pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan diketahui pada Khamis.

Peguam yang mewakili bapa mangsa, Fahmi Abd Moin berkata, tempoh reman kedua terhadap ibu bapa budak lelaki tersebut akan tamat pada Khamis dan kemungkinan ia tidak akan disambung setelah melepasi tempoh 13 hari.

"Esok adalah tarikh terakhir reman kerana ia adalah hari ke-13. Esok adalah keputusannya, saya yakin kertas siasatan sudah diterima Pejabat Peguam Negara.

"Mereka akan meneliti dokumen berkenaan dan melihat sekiranya ibu bapa itu akan dilepaskan dengan jaminan atau dihukum. Kita akan tunggu. Keadilan akan ditegakkan buat Allahyarham Zayn dan ibu bapanya," katanya di lobi Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu.

BACA LAGI: 'Ibu Zayn Rayyan tak mengaku bersalah, hanya perbetul fakta bercanggah'

BACA LAGI: 'Perlu ke sengaja buat provokasi', Mahmud selar kenyataan datuk Zayn Rayyan

Lawyer, Fahmi Abd Moin and Mahmud Jumaat on press conference at PJ Court Complex during Zayn Rayyan’s parents on a six-day remand extension to assist with investigations. — FAIHAN GHANI/The Star

Fahmi (tengah) memohon semua pihak bersabar sementara menunggu hasil siasatan.

Ibu bapa arwah sedang menjalani tempoh reman yang akan berakhir pada Khamis selepas mereka ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor pada 31 Mei lalu.

Mereka direman untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Scoop My melaporkan rakaman daripada salah seorang ibu bapa Zayn Rayyan sudah direkodkan di bawah Akta Keterangan 1950, menurut perkongsian Ketua Polis Jaya Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar @ Ismail.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan sama ada ibu atau bapa yang berbuat demikian selain tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenainya.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ditemukan meninggal dunia berdekatan sebuah sungai di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Berdasarkan laporan bedah siasat, kanak-kanak berkenaan dipercayai dibunuh melihat kepada kecederaan di leher dan tubuhnya. — The Star/NURBAITI HAMDAN and TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram