'Ibu Zayn Rayyan tak mengaku bersalah, hanya perbetul fakta bercanggah'


Ibu bapa Zayn Rayyan yang masih dalam tempoh reman sebelum keputusan penuh dimaklumkan pada Khamis ini. — The Star

KEHADIRAN ibu arwah Zayn Rayyan Abdul Matiin di Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu hanya untuk memberi keterangan lanjut berhubung percanggahan fakta yang diuar-uarkan di media sosial sebelum ini.

Dua peguam mewakili Isma iaitu Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat memaklumkan bahawa anak guamnya bukan mahu membuat pengakuan salah berhubung kes tersebut.

“Ibu Zayn Rayyan tidak buat sebarang pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu, tetapi dia hanya merekodkan keterangan berhubung kejadian yang berlaku,” kata Mahmud.

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: Ada percanggahan keterangan dengan saksi punca polis sambung reman ibu bapa mangsa

BACA LAGI: Zayn Rayyan: Hanya seorang suspek terlibat, letak mayat waktu hujan lebat — Polis

2737940

Polis sebelum ini mendapati, terdapat percanggahan keterangan yang dikeluarkan oleh ibu bapa dan saksi kes tersebut.

Mereka berdua juga menjelaskan bahawa keterangan ibu kepada kanak-kanak autisme yang meninggal akibat dibunuh itu bertujuan untuk memperbetulkan kenyataan berbeza dengan fakta sebenar berkenaan dirinya.

Kedua-dua peguam itu pada masa sama menegaskan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sebelum mengetahui keputusan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Dalam pada itu, Mahkamah Majistret juga telah merekodkan bantahan dua peguam tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan berikutan permohonan difailkan polis.

Mahmud berkata, anak guamnya telah memberi keterangan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah pada Rabu.

Sementara itu, keputusan penuh tentang lanjutan reman, pertuduhan dan pembebasan daripada jaminan polis untuk kedua ibu bapa Zayn juga akan diketahui pada Khamis ini.

Pada 7 Jun lalu, tempoh reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan disambung selama enam hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sehingga Khamis ini.

Pada 31 Mei lalu, ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam, Selangor kira-kira pukul 11 pagi dan ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star/NURBAITI HAMDAN DAN TEH ATHIRA YUSOF

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram