Ranking IMD jatuh tangga ke-34, ekonomi Malaysia lebih baik di zaman pandemik — Muhyiddin


  • Politik
  • Rabu, 19 Jun 2024

Muhyiddin Yassin menggesa agar Anwar Ibrahim mengakui realiti sebenar bahawa ekonomi Malaysia tidak bertambah baik di bawah kepimpinannya. — The Star

KEDUDUKAN Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 yang merudum ke tangga ke-34 menunjukkan negara tidak berada di landasan ekonomi yang betul, kata Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kedudukan itu adalah tamparan hebat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Data-data yang dibentangkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) dalam laporannya jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak berada pada landasan ekonomi yang betul.

BACA LAGI: Mahkamah Rayuan batal pelepasan, pembebasan Muhyiddin, 4 kes rasuah dibicara semula

BACA LAGI: Muhyiddin diberi pelepasan pasport, rasmi restoran rakan karib di Thailand

"Kedudukan daya saing negara merosot dalam semua bidang yang diukur, kecuali infrastruktur," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Terdahulu, Malaysia dilaporkan jatuh tujuh anak tangga di kedudukan ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, manakala Singapura kekal di tangga teratas.

Malaysia juga jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking tersebut, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland itu.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (25) dan Indonesia (27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (52).

1835808

Anwar Ibrahim merupakan perdana menteri ke-10 negara.

Beliau yang juga bekas perdana menteri itu berkata, buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia ketinggalan di belakang Indonesia dan Thailand dalam ranking daya saing dunia.

"Ini adalah satu fakta yang pahit untuk diterima kerana Malaysia sebelum ini pernah digelar sebagai 'Harimau Asia' dengan kedudukan ekonominya yang kukuh dan berdaya saing.

"Anwar sepatutnya menjadi lebih tawaduk dan tidak lagi menyombong apabila melihat prestasi Malaysia dalam ranking daya saing dunia adalah lebih baik pada zaman pandemik," katanya.

Katanya, pada 2020 kedudukan negara berada di tangga ke-27 dan naik ke tangga 25 pada 2021 ketika beliau menjadi perdana menteri.

"Ini menunjukkan komuniti perniagaan dan perindustrian antarabangsa melihat Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang lebih baik pada masa itu berbanding sekarang," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengkritik sikap sombong Anwar terhadap komuniti perniagaan sehingga sanggup mengugut untuk membatalkan lesen mereka jika menaikkan harga atau perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

"Masakan beliau tidak tahu bahawa kenaikan harga adalah disebabkan kos menjalankan perniagaan meningkat akibat dasar kerajaan menarik balik subsidi bahan api. Akhirnya, rakyat yang menanggung beban.

"Sudah sampai masanya Anwar mengakui realiti sebenar bahawa ekonomi Malaysia tidak bertambah baik di bawah kepimpinannya. Nasihat saya, hentikan beretorik dan urus ekonomi negara dengan cermat dan bijak.

"Saya percaya rakyat Malaysia sudah letih dengan cara anda mentadbir negara dan mengurus ekonomi. Rakyat mahu Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi yang gemilang di rantau ini dan mengecap kehidupan yang lebih makmur, setakat ini kepimpinan anda membawa Malaysia ke lembah kemunduran, bukan maju ke mercu kegemilangan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram