DENGAN capaian keseluruhan terhadap lebih 123 juta penduduk, tiga kuasa besar media serantau buat julung kalinya bergabung untuk membentuk Konsortium Impak Positif ESG (A-EPIC) yang pertama seumpamanya di Asia.
Terdiri daripada Star Media Group, Kumpulan Media Kompas Gramedia (KG Media) dan Kumpulan Syarikat Inquirer, tiga rakan media berpengaruh itu berganding bahu mempromosikan komitmen alam sekitar, sosio-ekonomi dan tadbir urus progresif untuk kemakmuran masa depan di rantau Asia Tenggara.
Dalam ucapannya bagi pihak rakan media, Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Chan Seng Fatt berkata, kerjasama ketiga-tiga pihak itu adalah usaha bagi memenuhi kemapanan dan impak positif secara kolektif.
BACA LAGI: Konsortium Impak Kelestarian Asia komitmen 3 negara langkah tepat — PM Anwar
BACA LAGI: Sebahagian besar isu dalam laporan IMD sudah diselesaikan — PM Anwar
“Sebagai organisasi media utama, kami telah menerima realiti ini dan memahami bahawa media memainkan peranan penting dalam memacu kesedaran dan tindakan.
"Mengambil kira seruan ini, kami mula menilai semula operasi untuk menyelaraskannya dengan matlamat negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050," kata Seng Fatt dalam ucapannya pada pelancaran A-EPIC di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau berkata liputan juga telah diperluas untuk memasukkan isu kritikal seperti perubahan iklim, Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menyedari cabaran itu, Seng Fatt berkata, Star Media Group turut melakukan pelaburan dalam inisiatif StarESG pada 2022.
Ia menampilkan antara lain pengeluaran bulanan StarESG dan Akademi StarESG untuk memudahkan pembelajaran dan perkongsian pengetahuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Chan Seng Fatt .
Lebih daripada 400 artikel telah diterbitkan, meliputi kepimpinan pemikiran, amalan terbaik industri dan kisah komuniti.
“Kami juga telah menganjurkan banyak klinik ESG, webinar, dan bengkel kepimpinan pemikiran, menjangkau lebih 11,000 ahli komuniti perniagaan,” katanya.
Seng Fatt berkata, berkata KG Media turut menerajui pelbagai projek di Indonesia untuk memacu kemampanan dan penjagaan alam sekitar.
Mengetengahkan kempen #SayaPilihBumi KG Media, beliau berkata, masyarakat di seluruh negara itu digerakkan untuk mengambil bahagian dalam program penanaman pokok, pengurangan sisa dan kitar semula.
“Seterusnya bagi memperkasakan usaha ini, mereka juga melancarkan kempen Lestari, gerakan kerjasama yang direka untuk meningkatkan inisiatif kemampanan tempatan untuk impak yang lebih besar,” katanya.
Seng Fatt pada masa sama turut menekankan usaha Philippine Daily Inquirer untuk mempromosikan prinsip ESG melalui inisiatif termasuk Inquirer ESG Edge.
“Bagi meneruskan misi mereka, rangkaian pemimpin pemikiran dan pakar merentasi pelbagai sektor di Filipina yang berkongsi sokongan kemampanan yang sama telah dibentuk.
“Rangkaian itu menyediakan laporan dan ulasan berkaitan ESG di samping menganjurkan forum, kempen dan projek komuniti untuk menggalakkan perbincangan dan tindakan yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, Seng Fatt mengumumkan bahawa Sime Darby Property Berhad akan menyertai tiga rakan media sebagai Rakan Kepelbagaian Bio Bandar mereka untuk inisiatif konsortium tersebut. — The Star/TARRENCE TAN/GERARD GIMINO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram