Anggota PGA Lahad Datu maut dihempap pokok tumbang


  • 112
  • Sabtu, 22 Jun 2024

Van polis dipandu mangsa dihempap pokok tumbang di Jalan Gelugor, Felda Sahabat 16, Lahad Datu. — PDRM

SEORANG anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu dilaporkan maut selepas van polis yang dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Gelugor, Felda Sahabat 16, Lahad Datu, Sabah pada petang Jumaat.

Mangsa, Koperal Zeno Gungoh, 44, yang bertugas di cawangan pengangkutan BN 17 PGA Lahad Datu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, dalam kejadian pada 2.30 petang itu, mangsa difahamkan memandu dari arah Komtek Sahabat 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) menuju ke Pantai Sahabat 16.

BACA LAGI: Anggota JI dalang serangan Balai Polis Ulu Tiram — Ketua Polis Negara

BACA LAGI: Dua anggota maut ditembak dan ditetak, suspek bertopeng serang Balai Polis Ulu Tiram

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebatang pokok yang berada di bahu kanan jalan raya tiba-tiba tumbang dan menghempap kenderaan jenis Window Van dipandu mangsa.

lahad datu

Mangsa memandu dari arah Komtek Sahabat 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) menuju ke Pantai Sahabat 16.

"Kejadian tersebut disaksikan seorang lagi anggota polis berpangkat Koperal yang kebetulan menunggang motosikal Scrambler Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Kawasaki dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memaklumkan, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mana-mana individu yang melihat kejadian ini boleh terus menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu," jelasnya.

Dzulbaharin dalam pada itu turut berdukacita atas kejadian yang menimpa anggota polis berkenaan.

Untuk rekod, mangsa yang juga bekas Unit Tindak Khas (UTK) PDRM pernah berkhidmat ketika peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada 11 tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram