RATA-RATA pengguna perkhidmatan jalur lebar Unifi menyuarakan rungutan mereka berhubung gangguan bekalan internet di kawasan kediaman masing-masing.
Berdasarkan tinjauan Majoriti di laman sosial pada Jumaat, kebanyakannya mengambil peluang untuk 'menyerbu' ruangan komen Facebook milik penyedia perkhidmatan internet itu bagi membuat aduan.
Ada yang mengadu, meskipun konsisten membayar bil setiap bulan, jaringan internet di lokasi pengguna masih gagal berfungsi dengan baik, sekali gus menyebabkan pekerjaan mereka tergendala.
BACA LAGI: Pemandu mabuk tak mengaku salah langgar Nur Masyitah Lebuhraya EDL
BACA LAGI: TM mula proses migrasi pelanggan Unifi ke IP peribadi
Kebanyakannya turut meluahkan rasa kesal dan tertanya-tanya situasi sebenar yang terjadi.
Bagaimanapun, jawapan yang diterima menerusi setiap aduan di ruangan komen itu agak menghampakan, apabila mereka hanya memberi respons bahawa semakan akan dibuat sambil meminta maklumat akaun Unifi pengguna.
Tangkap layar memaparkan antara rungutan pengguna di ruangan komen Facebook milik Unifi.
Salah seorang pengguna, Leroy Lee, memaklumkan, dia terpaksa keluar ke kedai kopi berdekatan semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang laju bagi menyelesaikan tugasannya.
"Bayar (bil kepada anda) secara konsisten setiap bulan, tetapi sekarang nak buat kerja pun tak boleh, terpaksa pergi kedai kopi untuk guna internet mereka," katanya.
Bagi Daniel Affan pula, sudah lebih lima hari kawasannya tidak mempunyai jaringan internet yang baik.
"Unifi teruk, lima hari dah serupa, sama sahaja tidak ada line. Kalian kalau rajin, buatlah semakan di kawasan Langat, bila (nak buat) pembayaran, mendesak suruh bayar awal," ujarnya.
Sementara itu, menurut Zima Mn, dia turut menyatakan hasrat untuk menutup akaun Unifi miliknya gara-gara perhidmatan itu dilihat semakin tidak efisien.
"Hello Unifi Home saya tidak berfungsi hari ini. Saya cuba semak sendiri. Tapi aplikasi tidak bagi pautan untuk buat semakan. Pusing-pusing suruh buka aplikasi Self-Care.
"Perkhidmatan pelanggan ejen beratur sangat panjang. Saya berhasrat nak tutup akaun Unifi ini sebab tidak boleh bantu saya," adunya.
Setakat berita ini ditulis, pihak Unifi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram