Syarikat telco perlu beri rebat kepada pengguna berdepan gangguan internet — Fomca


  • Massa
  • Sabtu, 22 Jun 2024

Para pengguna menyuarakan rungutan berhubung gangguan bekalan internet di kawasan kediaman masing-masing. — Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, rata-rata pengguna perkhidmatan jalur lebar Unifi menyuarakan rungutan mereka berhubung gangguan bekalan internet di kawasan kediaman masing-masing.

Berdasarkan tinjauan Majoriti di laman sosial pada Jumaat, kebanyakannya mengambil peluang untuk 'menyerbu' ruangan komen Facebook milik penyedia perkhidmatan internet itu bagi membuat aduan.

Ada yang mengadu, meskipun konsisten membayar bil setiap bulan, jaringan internet di lokasi pengguna masih gagal berfungsi dengan baik, sekali gus menyebabkan pekerjaan mereka tergendala.

BACA LAGI: Pengguna 'serbu' Facebook Unifi, merungut bayar konsisten tiap bulan, tapi line makin teruk

BACA LAGI: TM mula proses migrasi pelanggan Unifi ke IP peribadi

Mengulas mengenai rungutan tersebut, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin berkata, syarikat telekomunikasi (telco) yang terlibat seharusnya bertindak memberi rebat kepada pengguna yang terjejas sekiranya gangguan masih berlanjutan.

Beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbang pelaksanaan Skim Pampasan Automatik (ACS) bagi memberi kemudahan kepada orang ramai.

stok3

Tangkap layar memaparkan antara rungutan pengguna di ruangan komen Facebook milik Unifi.

"Di bawah skim tersebut, penyedia perkhidmatan akan dikehendaki memberi pampasan kepada pengguna yang menerima kualiti perkhidmatan lemah, tanpa memerlukan kaedah tuntutan rasmi yang kebiasaannya melibatkan pelbagai kerenah birokrasi.

"Langkah ini juga akan memberi dorongan agar syarikat berkaitan dapat memperbaiki perkhidmatan tanpa sebarang gangguan dan sentiasa menjaga mutu perkhidmatan mereka," katanya kepada Majoriti.

Menurut Nur Asyikin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat pengumuman bahawa Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2021.

Jelasnya, standard itu merangkumi keperluan minimum baharu, terutamanya untuk prestasi rangkaian, perkhidmatan pelanggan dan pengendalian aduan.

"Penyedia perkhidmatan telco dikehendaki mempunyai proses pengendalian aduan yang jelas dan boleh diakses.

"Aduan mesti diakui dan diselesaikan dalam jangka masa ditetapkan. Pelaksanaan MSQoS bertujuan memastikan pengguna di Malaysia menerima perkhidmatan telekomunikasi berkualiti tinggi dan aduan mereka ditangani dengan cara yang memuaskan," katanya.

stok2

Penyedia perkhidmatan dikehendaki memberi pampasan kepada pengguna yang menerima kualiti perkhidmatan lemah.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan pengguna yang berdepan dengan masalah gangguan internet agar membuat aduan kepada syarikat telco berkenaan.

Beliau menjelaskan, sekiranya pengguna tidak menerima maklum balas daripada syarikat tersebut, maka mereka boleh majukan tindakan aduan seterusnya kepada MCMC.

"Boleh suarakan aduan menerusi laman web MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main.

"Sekiranya MCMC tidak memberikan maklum balas juga, pengguna boleh membuat aduan ke Fomca melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)," katanya.

WhatsApp Image 2024-06-21 at 19.18.57 (1)

Nur Asyikin

Dalam perkembangan sama, kongsi Nur Asyikin, selain gangguan bekalan internet Unifi, NCCC turut menerima aduan mengenai pemasangan kabel yang tidak mempunyai servis internet.

Ujarnya, meskipun sudah membuat aduan kepada pihak Unifi, namun tiada respons yang diberikan kepada pengadu berkenaan.

Lebih malang buatnya apabila syarikat itu berterusan meminta bayaran perkhidmatan, sedangkan pengadu langsung tidak menggunakan perkhidmatan mereka disebabkan tiada servis internet di kawasan tersebut.

"Selepas berputus asa, dia cuba untuk batalkan servis perkhidmatan tersebut tetapi pengadu diminta membayar penalti dengan alasan melanggar perjanjian kontrak.

"Adakah ia adil untuk pengguna yang terpaksa membayar denda penalti bagi servis yang dia tidak dapat guna langsung?

"Selain itu, terdapat juga maklumat mengelirukan yang mana pengguna ditawarkan kelajuan wifi dan penggantian 'router' baharu secara percuma, tetapi dalam kitaran bil yang seterusnya, terdapat caj tambahan untuk item tersebut," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram