Bimbing anak murid malas sampai ke menara gading jadi pembakar semangat Cikgu Teh didik anak bangsa


Cikgu Teh bersama isteri tercinta, Lee Khay Nee berkhidmat di SMK Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan.

DILAHIR dan dibesarkan dalam kelompok masyarakat Melayu di Kampung Naka, Padang Terap, Kedah menjadikan Teh Boon Siang tidak kekok berbahasa Melayu.

Malah ketika penulis menemu bual Boon Siang atau dikenali sebagai Cikgu Teh, tiada sedikit pun perkataan bahasa Inggeris keluar daripada mulutnya yang cukup petah berbicara dalam bahasa kebangsaan.

Memiliki darah campuran Siam, Cikgu Teh berkata, dia mengajar subjek Sejarah dan Pendidikan Jasmani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan.

BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah

BACA LAGI: PKP pencetus inspirasi 'wanita jambu' raih RM10,000 sebulan

WhatsApp Image 2024-05-16 at 12.57.21 PM

Cikgu Teh mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan.

Meskipun bukan dilahirkan daripada keluarga yang senang, Cikgu Teh memberitahu, bapanya, Teh Kok Hoe sentiasa menitikberatkan pendidikan buat anak-anaknya.

"Waktu kecil dahulu, setiap kali pukul 8 malam memang ayah akan buka televisyen untuk tonton berita supaya kami mengetahui isu-isu semasa," katanya.

Tidak hanya itu, bapanya akan membeli surat khabar pada setiap hari bagi memastikan anak-anaknya mahir membaca dan menulis dalam bahasa Melayu.

"Setiap hari ayah saya memang beli surat khabar berbahasa Melayu sebab dia amat menitikberatkan aspek pendidikan kepada anak-anak.

"Ayah saya ada perspektif bahawa pendidikan itu yang dapat ubah masa depan anak-anak dia," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-16 at 2.00.03 PM

Cikgu Teh bersama isteri tercinta (kiri) dikurniakan sepasang anak kembar lelaki dan perempuan.

Selepas berjaya menjadi pendidik selama lebih lapan tahun, Cikgu Teh juga terbiasa dikelilingi anak murid berbangsa Melayu yang mendorongnya lebih memahami budaya masyarakat lain.

"Dari kecil memang saya banyak berkawan dengan orang Melayu, saya jadi faham budaya mereka.

"Waktu di universiti pun ramai kawan orang Melayu," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-16 at 12.02.27 PM

Pelajar datang ke rumah Cikgu Teh semasa mengadakan jamuan di rumahnya.

Selain menjadi guru, Cikgu Teh juga pernah menjadi warden bagi asrama di sekolah berkenaan yang merapatkan lagi hubungannya dengan anak-anak didik.

"Sekolah saya tak ramai pelajar, ada dalam 500 orang. Asrama pula dalam 70 hingga 80 orang.

"Ada juga orang kagum macam mana saya jaga budak-budak asrama yang kebanyakan pelajar Melayu. Saya pun minta mereka masa untuk buktikan yang saya boleh.

"Saya berjaya ubah tanggapan bahawa cikgu berbangsa lain juga mampu mendidik anak murid berlatarbelakangkan budaya dan agama berbeza dengan baik," katanya.

Bahkan, Cikgu Teh tidak menjadikan perbezaan itu sebagai halangan untuk dia sentiasa mengingatkan anak-anak murid supaya sentiasa menjaga ibadah seperti solat dan sebagainya.

"Sebab kalau budak-budak ini tak diingatkan solat akan terjadi isu-isu macam ponteng solat dan sebagainya," katanya yang tegas semasa menjalankan tugas sebagai warden.

WhatsApp Image 2024-05-16 at 12.48.44 PM

Cikgu Teh beranggapan bahawa warga SMK Teriang Hilir banyak membantu dan menyokong kerjayanya sebagai pendidik.

Lelaki berusia 33 tahun itu berasa seakan-akan kerja kerasnya dalam mendidik anak-anak tidak sia-sia setiap kali mendengar berita kejayaan anak-anak didiknya.

"Bila ada pelajar yang beritahu mereka dapat sambung pengajian ke peringkat universiti, saya rasa itu merupakan perkara yang menyuntik semangat supaya lebih bekerja keras dalam mendidik anak bangsa," katanya.

Cikgu Teh turut menceritakan kisah seorang anak didiknya, Muhamad Shamierul Ikhwan yang malas belajar namun kini sudah berjaya ke menara gading.

Pada awalnya, Cikgu Teh berkata, anak muridnya itu pasrah dan memutuskan untuk tidak menyambung pelajaran kerana beranggapan tidak memperoleh nilai yang bagus semasa pengajiannya di Tingkatan 6.

"Sewaktu dia berada di Tingkatan 6 di Sekolah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah memang jenuh juga melayan (murid) sampai hampir tiap-tiap bulan kena melawat.

"Kononnya nak bagi motivasi selepas ibu dia minta saya nasihatkan anaknya itu, tetapi saya tak sanggup dia berhenti belajar sekerat jalan sahaja," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-16 at 2.14.08 PM

Cikgu Teh bersama anak muridnya, Muhamad Shamierul Ikhwan yang kini melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah.

Selepas itu, Cikgu Teh terkejut apabila mendapat khabar mengenai Shamierul yang berjaya terpilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Waktu itu saya rasa tugas dah selesai dan minta Shamierul ini supaya pandai-pandai bawa diri di universiti, tetapi dia cakap cikgu kena terus paksa saya. Saya takut lalai," katanya.

Meskipun tidak lagi menjadi warden, ibu kepada Shamierul tetap mempercayai Cikgu Teh dan menghantar dua anak kembarnya untuk bersekolah di sekolah yang sama agar mudah dipantau oleh Cikgu Teh.

Sebelum ini, Cikgu Teh mendapat pendidikan Ijazah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak dalam bidang pendidikan Sejarah dan juga pengajian Kokurikulum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram