INDUSTRI tanaman durian tempatan bakal memperoleh akses pasaran eksport baharu ke China, sekali gus mampu melonjakkan nilai eksport agro makanan ke luar negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama itu dicapai melalui pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke negara tersebut ketika rangka lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke negara ini.
BACA LAGI: Nenek, cucu selamat lepas semalaman sesat ke kebun durian di KKB
BACA LAGI: [VIDEO] Berebut tapak jualan punca 'Durian Gengster' bergaduh di Sarikei
Katanya, pelaksanaan protokol itu diyakini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63,000 pengusaha durian seluruh negara.
"Melalui protokol ini juga, pengusaha durian yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) berdasarkan pematuhan kepada syarat-syarat dalam protokol itu yang dibenarkan untuk mengeksport buah durian segar ke negara China," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, Malaysia sebelum ini diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada 2011 dan buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada 2018.
Katanya, pada tahun lalu, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion dan secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara yang bernilai RM2.01 bilion.
"Negara China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022.
"Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030," katanya.
Terdahulu, Mohamad memeterai protokol tersebut dengan Menteri GACC, Yu Jianhua, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li Qiang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram