100,000 permohonan diluluskan, MOF seru lebih ramai mohon bantuan Budi Madani


  • Primer
  • Rabu, 19 Jun 2024

Sebanyak 100,000 bantuan Budi Madani diluluskan oleh MOF setakat ini.

SEBANYAK 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel individu (Budi Individu) serta petani dan pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi) telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.

Beliau berkata, bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.

BACA LAGI: Subsidi diesel: Kumpulan pertama Budi Madani terima bayaran 10 Jun

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU

"Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel bulan Jun. Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai Budi Madani bermula pada bulan permohonan dibuat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Seramai 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun, diikuti oleh 46,000 pemohon yang menerima bayaran pada Rabu.

Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung Jun, bayaran akan diberikan pada awal Julai 2024.

Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional.

Inisiatif Budi Madani yang dibuka sejak 28 Mei 2024 adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori Budi Individu dan pekebun kecil melalui kategori Budi Agri-Komoditi.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi Individu.

Sementara itu, seramai hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.

Dalam pada itu, bagi pemohon individu yang gagal boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang Budi Madani iaitu https://budimadani.gov.my.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram