SEORANG warga emas dengan cucu perempuannya berusia 12 tahun yang sesat ketika dalam perjalanan ke kebun durian di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Baharu, Selangor pada Ahad ditemukan selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kedua-dua mangsa berjaya ditemui pukul 9.30 pagi Isnin.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nenek berusia 62 tahun bersama cucunya itu dimulakan pukul 8 pagi Isnin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: Servis hantar ubat secara pos kini boleh dibayar secara 'online'
Nenek (kanan) dan cucunya (kiri) yang terpaksa bermalam di lokasi itu. — APM
Ahmad berkata, seramai enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan dalam operasi ini dan dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Orang Asli.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada waris, lokasi mangsa berjaya dikesan melalui panggilan telefon.
"Anggota penyelamat dalam perjalanan ke lokasi mangsa yang mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan daripada check point pertama," katanya.
Sebelum ini, wanita tersebut sempat menghubungi anaknya pukul 12 tengah hari untuk memberitahu tentang kejadian itu sebelum telefon bimbitnya dipercayai kehabisan bateri.
Disebabkan itu, anak sulungnya membuat laporan polis pada 3 petang Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram