[VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU


  • Politik
  • Selasa, 04 Jun 2024

Meskipun BERSATU akan menghantar notis kekosongan kerusi ekoran perlucutan keahlian enam ahli Parlimen parti itu, namun tafsiran berhubung kesannya terhadap kedudukan kumpulan itu di Dewan Rakyat hanya boleh ditentukan Speaker.

KEPUTUSAN untuk pengosongan kerusi di Dewan Rakyat adalah sepenuhnya terletak di bawah bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat, kata pakar Perlembagaan.

Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, meskipun Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) akan menghantar notis kekosongan kerusi ekoran perlucutan keahlian enam ahli Parlimen parti itu, namun tafsiran berhubung kesannya terhadap kedudukan kumpulan itu di Dewan Rakyat hanya boleh ditentukan Speaker.

"Dalam undang-undang akta anti lompat parti, Perkara 49A Perlembangaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa kalau ada kekosongan, maka parti boleh mengeluarkan notis kepada Speaker dan Speaker akan menyiasat serta membuat keputusan. Jadi keputusan sama ada kerusi kosong atau tidak itu adalah keputusan Speaker," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Nasib 7 wakil rakyat BERSATU terjawab, PRK bakal jadi penentu masa depan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan

BACA LAGI: Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kedudukan enam ahli Parlimen BERSATU yang dilapor digugurkan keahlian parti secara automatik pada akhir bulan lalu selepas gagal untuk mematuhi surat arahan yang dikeluarkan bagi melahirkan ikrat taat setia kepada parti.

2627524

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris pada Isnin berkata, partinya akan menghantar notis kekosongan kerusi tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan BERSATU yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Notis kekosongan itu melibatkan enam ahli Parlimen BERSATU yang bertindak menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mengulas lanjut, Nik Ahmad berkata, pada waktu ini, kesan perlucutan keahlian parti terhadap kedudukan seseorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini dilihat terbuka terhadap beberapa tafsiran.

Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dua sebab seseorang Ahli Dewan Rakyat berhenti menjadi ahli Parlimen iaitu pertama, melibatkan tindakan wakil rakyat melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik, atau calon Bebas yang bertindak menyertai parti politik sebagai ahli.

Justeru itu, beliau berkata, antara isu pokok yang menjadi tumpuan dalam pentafsiran Speaker adalah mengenai maksud perlucutan keahlian dan pemecatan parti.

"Kalau kita lihat dalam Perkara 49 (A) seseorang itu tidak hilang kelayakan sekiranya dia dipecat oleh parti.

"Dalam konteks ini, persoalannya adakah perlucutan keahlian dalam sesebuah parti itu adalah sama seperti dipecat? Kalau Speaker tafsir sama macam dipecat, maka ahli tersebut tidak hilang kerusi.

"Jadi sekarang ini Speaker kena buat keputusan sebab ini kes pertama untuk tafsiran Speaker di bawah Perkara 49 (A)," katanya.

400446996_859837888978190_4799066232584950070_n

Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood

Menurut Nik Ahmad, pada waktu ini, terdapat ketidakjelasan dalam pentafsiran terhadap dua terma iaitu perlucutan dan pemecatan.

Ujarnya, ini kerana pada masa ini, kedua-dua terma itu dilihat boleh membawa maksud yang sama iaitu melibatkan kesalahan ahli melanggar disiplin parti.

Sebagai contoh, sesuatu pemecatan itu berlaku kerana seseorang ahli itu melakukan kesalahan dengan melanggar disiplin parti.

"Jadi dalam kes BERSATU ini, perlucutan keahlian itu juga berlaku kerana ahli itu melakukan kesalahan dengan melanggar disiplin parti. Jadi, dalam konteks perlucutan dan pemecatan itu seolah-olah sama sahaja kesannya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram