PRK Sg Bakap: Abidin Ismail dinamakan calon PN


  • Politik
  • Ahad, 16 Jun 2024

Tuan Ibrahim (dua kiri) menyerahkan watikah pencalonan kepada Abidin selepas diumumkan sebagai calon PN pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK Sungai Bakap pada Sabtu.

PERIKATAN Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai depan.

Pegawai khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff itu diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada Majlis Pengisytiharan Calon PRK N20 Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara, pada Sabtu.

Pengumuman itu menyaksikan Abidin bakal berdepan calon Kerajaan Perpaduan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Joohari Ariffin, 60.

BACA LAGI: [VIDEO] Sanusi ibarat hina rakyat miskin minta bantuan wakil rakyat, kerajaan PAS — Bekas MB

BACA LAGI: 'Hanya Speaker boleh arahkan kami kosongkan kerusi Parlimen'

Tuan Ibrahim berkata, pemilihan Abidin dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS berdasarkan kelayakan dan latar belakangnya.

Menurutnya, Abidin adalah calon paling tepat memandangkan beliau mengenali semua kerja Allahyarham dan percaya mampu menggalas tanggungjawab sama seperti Allahyarham Nor Zamri.

Rabu lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara sebagai calon untuk bertanding PRK DUN Sungai Bakap.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. — The Star/ Imran Hilmy

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram