[VIDEO] Sanusi ibarat hina rakyat miskin minta bantuan wakil rakyat, kerajaan PAS — Bekas MB


  • Politik
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Mahdzir (kiri) mengkritik kenyataan Muhammad Sanusi berhubung permohonan bantuan yang diminta oleh rakyat Kedah.

KERAJAAN Negeri Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disaran supaya mencari jalan menjana pendapatan baharu bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan dan membela nasib rakyat miskin di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kerajaan Negeri perlu melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan bukannya meminta mereka berhenti memohon bantuan.

"Bagi saya, sebagai seorang Menteri Besar dipilih rakyat Kedah, beliau seharusnya memikul tanggungjawab membantu rakyat miskin di negeri itu dan bukannya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat miskin jangan lagi menjadikan meminta bantuan daripada kerajaan PAS sebagai satu budaya hidup.

BACA LAGI: 'Jika tarik lesen bas, 1.5 juta murid tidak pergi sekolah'

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

"Itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada golongan miskin dan sudah tentu ianya amat mengecewakan rakyat apabila seorang Menteri Besar meminta rakyat jangan lagi bergantung harap dengan meminta bantuan daripada kerajaan PAS", katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Sanusi yang tular baru-baru ini di TikTok dalam satu majlis.

Menerusi klip tersebut, Sanusi meminta rakyat miskin di Kedah berhenti menjadikan budaya memohon bantuan daripada kerajaan dan Wakil Rakyat PAS termasuk untuk membaiki dinding dan bumbung rumah.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, rakyat Kedah yang memilih dan mengundi pimpinan PAS untuk menerajui negeri itu sememangnya mengharapkan kepimpinan kerajaan memainkan peranan berkesan dalam membantu rakyat miskin yang memerlukan bantuan.

"Mengapa pimpinan PAS ketika berkempen dalam pilihan raya tidak menyebut perkara itu dengan meminta rakyat jangan meminta bantuan daripada Wakil Rakyat kalau mereka menang?

"Kenapa sekarang apabila menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihanraya, kerajaan negeri meminta rakyat miskin jangan lagi minta bantuan daripada wakil rakyat PAS?

"Adakah itu membawa maksud pimpinan kerajaan negeri mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap rakyat?" soal beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah.

photo1718419194

Tangkap layar video tular ucapan Muhammad Sanusi baru-baru ini mengenai isu permohonan bantuan yang diminta oleh rakyat Kedah.

Mahdzir berkata, dalam isu tersebut, Kerajaan negeri perlu merangka strategi khusus bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan di Kedah.

"Kalau di zaman Umno dan BN (Barisan Nasional) memerintah dahulu, kita memang meletakkan agenda membasmi kemiskinan rakyat itu sebagai agenda utama perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukannya secara 'one off'.

"Kita pun tak pernah sebut supaya rakyat jangan minta bantuan daripada kerajaan Umno dan BN ketika kita memerintah. Tetapi kerajaan PAS yang memerintah hari ini enggan melaksanakan amanah dan tanggungjawab membantu rakyat miskin.

"Berbeza dengan Umno dan BN sekarang ini walaupun sudah tidak menjadi kerajaan di negeri Kedah, tetapi kita masih lagi mendekati rakyat miskin dengan menghulurkan pelbagai bantuan kerana itu budaya yang sudah menjadi amalan bagi Umno dan BN untuk membantu rakyat dan kita tidak pernah merungut atau meminta rakyat jangan lagi minta bantuan kita" katanya.

Mahdzir menambah, Kerajaan Kedah juga perlu mengambil tanggungjawab melaksanakan usaha seperti dilaksanakan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan yang menggerakkan usaha penstrukturan semula ekonomi negara pasca Covid-19.

"Menerusi agenda Membangun Malaysia Madani, kita lihat banyak menumpukan kepada usaha membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar, golongan nelayan, pesawah, penoreh getah, peniaga kecil, kumpulan pelajar dan mahasiswa serta pekerja E-hailing.

"Begitu juga dengan sektor pendidikan, pertanian, bidang kesihatan dan infrastruktur yang diberikan perhatian khusus," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram