PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap


  • Berita
  • Khamis, 13 Jun 2024

PAS dijangka berdepan tugas besar untuk mengekalkan kemenangan di DUN Sungai Bakap pada PRK kali ini. — Gambar hiasan

PENGANALISIS politik menjangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memiliki peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung pada 6 Julai depan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, PAS berjaya memenangi kerusi terbabit yang sebelum itu dikuasai PKR di bawah Pakatan Harapan (PH) terbabit selama tiga penggal berturut-turut bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, impak kemenangan parti mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu (KKB) ketika ini masih lagi menyebelahi parti kerajaan.

"Mengambil kira trend semasa terutamanya keputusan PRK di KKB, saya berpendapatan peluang PKR dan Kerajaan Perpaduan untuk menang di kerusi ini cerah.

"Ia antara lain contohnya apabila melihatkan peralihan undi Melayu kepada PH yang dapat dikesan menerusi undi awal polis dan juga kejayaan mereka merampas dua pusat daerah mengundi (PDM) majoriti Melayu dalam PRK KKB," katanya kepada Majoriti.

Mazlan yang Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM, berkata, bagi PRK Sungai Bakap kali ini, isu nasional dijangka akan menjadi perkara yang mendominasi perbincangan antara kedua-dua pihak.

Disebabkan itu, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PH dilihat mempunyai kelebihan khususnya dalam menarik sokongan pengundi.

2729113

Sebelum PRN Ogos tahun lalu, PKR menguasai kerusi DUN Sungai Bakap selama tiga penggal berturut-turut. — Gambar hiasan

Ujarnya, kedudukan PH yang ketika ini merupakan parti menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan turut menjadi penentu utama yang memainkan peranan pada PRK di kawasan tersebut.

"Kita bagaimana faktor seperti kestabilan kerajaan, kenaikan gaji kakitangan awam dan pakej bantuan disediakan berkemungkinan besar mempengaruhi keputusan pengundi," jelasnya.

PAS berdepan cabaran besar

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar berkata, PAS dilihat berdepan cabaran besar mengekalkan kerusi tersebut selepas beberapa faktor membantu kemenangan mereka pada PRN lalu dilihat sudah agak sedikit merosot.

Faktor tersebut antara lain melibatkan kekuatan gelombang hijau atau sokongan Melayu-Islam yang cukup tinggi dan juga beberapa elemen kecil seperti pengaruh Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Pada waktu ini, nampaknya faktor itu tidak begitu kuat seperti ketika PRN Ogos lalu. Jadi bagi saya, untuk PAS mengekalkan kemenangan itu mereka perlu mencari elemen lain untuk menambahkan sokongan.

"Tambahan pula, penyandang kerusi (Nor Zamri Latiff) ini apabila beliau menang, beliau tidak sempat menyumbang banyak tenaga kerana faktor kesihatan yang dialaminya," ujarnya.

Mengulas lanjut, Hisomuddin berkata, dengan melihat kepada keputusan PRK KKB baru-baru ini, penggunaan isu 3R atau agama, kaum dan raja juga dilihat tidak mampu menjamin kemenangan PN untuk persaingan kali ini.

photo1718199729

Isu kenaikan tarif air dilihat menjadi antara isu utama bakal dimainkan pada PRK kali ini. — Gambar hiasan

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa PAS yang bersama PN seharusnya memberikan tumpuan untuk mengetengahkan isu semasa khususnya yang melibatkan masalah dihadapi pengundi setempat.

"Sebab Kerajaan Negeri adalah pimpinan DAP (PH), jadi mungkin ada isu berkaitan pentadbiran yang boleh dikritik dan diketengahkan," jelas beliau.

Sehubungan itu, Hisomuddin melihat terdapat beberapa isu dijangka dimainkan khususnya melibatkan masalah setempat antaranya kenaikan tarif air dan pemilikan kediaman.

"Jadi, kalau Jentera PN itu boleh memanfaatkan ruang itu, mereka mungkin akan mendapat sokongan pada segmen tertentu yang akan memberikan nilai tambah kepada kemenangan mereka untuk mengekalkan kerusi itu daripada dirampas PH.

"Untuk segmen pengundi anak muda yang bekerja dan terlibat secara langsung dalam ekonomi negeri, isu seperti pemilikan rumah adalah sesuatu yang sememangnya benar-benar dihadapi mereka," ujarnya.

2712263 (1)

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Sementara itu, Hisomuddin berkata, peratusan keluar mengundi juga dijangka memainkan peranan besar dalam menentukan pemenang dalam PRK Sungai Bakap.

Sekiranya peratusan dicapai adalah mengikuti trend seperti PRK sebelum ini iaitu antara 60 hingga 65 peratus, beliau berkata, PKR berpotensi untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, keupayaan wakil Kerajaan Perpaduan untuk memenangi persaingan kali ini juga ditentukan oleh sejauh mana mereka mampu menjelaskan dengan baik berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang dijangka bakal dimanipulasi oleh pembangkang.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram