PRK Sungai Bakap bukan pertandingan individu, medan uji ideologi dan parti


  • Politik
  • Isnin, 17 Jun 2024

PRK DUN Sungai Bakap bukan pertandingan individu tetapi persaingan antara pihak yang mewakili ideologi dan parti iaitu antara PH dan PN atau PAS dan PKR.

DUA gabungan politik terbesar negara mengatur strategi dengan mempertaruhkan anak jati tempatan dalam gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan membuka tirai secara rasmi pada Sabtu ini.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Joohari Ariffin, 60, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili mereka.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamaie Hamil berpandangan kedua-dua calon berada pada posisi yang mampu meyakinkan pengundi berdasarkan pengalaman kemasyarakatan, anak jati dan majoriti yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

BACA LAGI: Masalah air di Sungai Bakap jadi keutamaan Joohari Ariffin

BACA LAGI: 'Saya yakin 100 peratus calon PN menang PRK Sungai Bakap — ADUN Jeram

448510832_773349401630688_6063321669337582479_n

Tuan Ibrahim (depan kiri) menyerahkan watikah pencalonan kepada Abidin selepas diumumkan sebagai calon PN pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRK Sungai Bakap pada Sabtu.

Katanya, pengalaman Joohari lebih kepada tugas sebagai seorang penjawat awam dan pendidik manakala Abidin berpengalaman dalam parti serta kerja sosial.

"Namun kedua-dua mereka berpotensi mencetuskan nilai sentimen kepada pengundi Sungai Bakap kerana anak jati tempatan.

"Tetapi, jika melihat daripada sudut akademik, peluang lebih memihak kepada Joohari kerana merupakan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang mungkin jadi taruhan golongan pertengahan dan anak muda.

"Biasanya orang ramai kalau hendak memilih calon, mereka tengok anak tempatan, tahap pendidikan dan pengalaman kerja atau bagaimana menangani hal-hal kemasyarakatan kerana itu menggambarkan tingkah laku apa yang akan dilakukan seseorang apabila menang di kawasan itu," katanya pada Isnin.

Meskipun berkemungkinan terdapat saingan tiga penjuru, namun Jamaie menyifatkan PRK Sungai Bakap sebagai pentas pertembungan sengit antara PH-BN dan PN kerana perbezaan majoriti pada pilihan raya tahun lepas hanya 1,563 undi.

Tambah beliau lagi, PKR pasti ingin merampas kembali kerusi yang dimenangi selama tiga penggal dari 2008 sebelum ia terlepas ke tangan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas, dan PAS pula tentu sahaja mahu mempertahankan kerusi itu.

"Majoriti lebih 1,500 undi bukan kawasan putih pada yang menyandang manakala bukan hitam kepada yang bersaing.

"Jadi maksudnya mana-mana parti yang setaraf ada peluang untuk menang di situ sebab ia boleh dikatakan kelabu. Jika majoriti 2,000, itu baru kawasan hitam," katanya.

448442466_878979164268542_2132439025693768275_n

BN di bawah Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Joohari Ariffin.

Joohari yang dinamakan sebagai Calon Perpaduan merupakan bekas guru dan dilantik sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara pada 4 April 2018 sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 1 September 2023, sementara calon Abidin pula bertugas dalam bidang logistik dan pembantu kepada penyandang kerusi Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Jayum Anak Jawan pula menyifatkan PRK DUN Sungai Bakap bukan pertandingan individu tetapi persaingan antara pihak yang mewakili ideologi dan parti iaitu antara PH dan PN atau PAS dan PKR.

"Ia juga mengenai ujian berkenaan sokongan kaum Melayu bagi parti PKR dan PAS," katanya.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, jika PH-BN menang di DUN Sungai Bakap, ia merupakan petanda bahawa sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinannya semakin kuat terutama dalam mengemudi negara menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

PRK Sungai Bakap dilihat medan penting bagi PKR dan PAS kerana ia bakal menyaksikan sekali lagi pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan bagi merebut kerusi sama setelah hampir 10 bulan selepas PRN 2023.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri daripada PAS pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram