[VIDEO] Perompak sempat sapa 'aunty' sebelum samun tiga beranak di Mentakab


  • 112
  • Khamis, 01 Feb 2024

Tangkap layar seorang wanita (dalam bulatan) cuba melawan suspek yang merompak rumahnya di Taman Bukit Bendera dekat Mentakab, Pahang pada Rabu.

SEORANG wanita dan dua anak perempuannya berdepan dengan detik menakutkan selepas mereka menjadi mangsa rompakan seorang lelaki di rumah sendiri yang berlokasi di Taman Bukit Bendera dekat Mentakab, Pahang pada Rabu.

Kejadian itu turut dirakam kamera litar televisyen (CCTV) milik mangsa dan video insiden itu juga menjadi bualan ramai selepas ia mula tular sejak pagi Khamis.

Melalui rakaman CCTV, kejadian itu berlaku pada pukul pukul 1.19 petang dan mangsa dilihat baru pulang ke rumah dengan dua orang anaknya.

Mangsa kemudian dilihat keluar daripada kenderaan dan menyidai baju di ampaian dalam kawasan parkir dan membiarkan pintu pagar automatik rumahnya itu terbuka sementara dua anaknya berada di dalam kereta.

Selang beberapa minit kemudian, sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi tiba-tiba berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum perompak tersebut meluru keluar dan terus mengambil sesuatu dipercayai barang berharga dalam kereta mangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal berbasikal, budak lelaki maut digilis lori di Telok Gong.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan insiden samun tersebut.

Katanya, dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 38 tahun pulang ke rumah selepas mengambil dua anak perempuannya di sekolah.

"Semasa sampai di rumah teres dua tingkat itu, mangsa telah membuka pagar automatik dan membiarkan ia terbuka.

"Mangsa telah keluar dari kereta dan menjemur pakaian di pekarangan rumah manakala dua anaknya berada di dalam kereta tersebut.

"Tiba-tiba sebuah kereta jenis Myvi berwarna putih berhenti di hadapan rumah dan suspek telah keluar dari arah pemandu.

"Sambil berjalan, suspek telah menyapa 'aunty' lalu menuju ke pintu kereta mangsa dan mengambil beg sandang miliknya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, kehadiran lelaki itu menyebabkan anak-anak mangsa menjerit dan mangsa dengan pantas meluru ke arah keretanya.

"Telah berlaku pergelutan antara mereka kerana mangsa bertindak menarik beg sandangnya sehingga dompet yang berada di dalam beg terjatuh.

"Mangsa bertindak mengejar suspek dan cuba menarik semula beg sandang namun tidak berjaya," tambahnya.

Jelas Mazlan, semakan CCTV di tempat kejadian mengesahkan kejadian berlaku, namun nombor pendaftaran kenderaan suspek tidak jelas.

"Tiada kecederaan dialami mangsa dan kerugian dianggarkan kira-kira RM1,000 membabitkan beg sandang jenama MCM.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram