[VIDEO] 'Saudara datang pukul 3 pagi', MB Selangor balas dakwaan gagal urus isu sampah di Hulu Langat


  • Primer
  • Ahad, 16 Jul 2023

Tangkap layar seorang pengguna Twitter @suffikamari memuat naik satu video tentang kekecewaannya mengenai lambakan sampah Batu 18 Hulu Langat, Selangor.

MENTERI Besar Selangor, menafikan dakwaan Kerajaan Selangor menolak dakwaan bahawa tidak mengambil serius isu sampah di Batu 18 Hulu Langat, Selangor yang tular di Twitter pada Ahad.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dakwaan seorang pengguna Twitter itu dibuat pukul 3 pagi sedangkan sampah dikutip setiap hari antara pukul 5 hingga 8 pagi.

Menurut beliau, jumlah sampah di kawasan itu tinggi berikutan terdapat banyak tapak perkhemahan dan pusat peranginan di sekitarnya.

"Saudara datang pukul 3 pagi mengadu sampah tidak dikutip sedangkan memang lori sampah datang setiap pagi antara 5 hingga 8 pagi untuk kutip sampah.

"KDEBWM (KDEB Waste Management) sentiasa melaksanakan kutipan berjadual (di tapak pembuangan sampah) setiap hari," katanya dalam satu maklum balas di Twitter pada Ahad.

Hulu Langat

Tangkap layar video menunjukkan kawasan Batu 18 Hulu Langat, Selangor yang sudahpun dibersihkan. — Twitter/ Amirudin

Naib Presiden PKR itu turut memuat naik satu video menunjukkan kawasan tersebut sudah dibersihkan seperti mana yang dilakukan setiap hari oleh KDEBWM.

Pada Ahad, seorang pengguna Twitter @suffikamari memuat naik satu video tentang kekecewaannya mengenai lambakan sampah di kawasan tersebut dan meminta kerajaan Selangor untuk menyelesaikan isu tersebut.

Menerusi video itu, individu itu turut mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil serius tentang isu pengurusan sampah di kawasan tersebut.

Individu tersebut membuat siaran langsung menerusi media sosial pukul 3 pagi dan mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri tersebut menyalahkan penduduk tentang isu terbabit kerana tidak membayar cukai.

Katanya itu bukan kali pertama berlaku dan dia sudah berulang kali membangkitkan isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram