SEORANG lelaki ditahan selepas tindakannya memukul sebuah kereta menggunakan topi keledar dirakam dalam satu klip video yang tular sejak Sabtu minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di rumahnya di Sungai Pinang, George Town, Pulau Pinang pada petang Ahad.
Menurutnya, suspek kini direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru penunggang ragut 'handphone' lelaki di lintasan pejalan kaki Pasar Seni
"Siasatan mendapati kejadian berlaku selepas pemandu kereta secara tidak sengaja melanggar motosikal lelaki berkenaan. Suspek yang tidak berpuas hati dengan insiden itu mencabar pemandu kereta berkenaan untuk bergaduh.
"Pemandu kereta kemudiannya tidak mahu memanjangkan insiden berkenaan selepas mendapati motosikal suspek tidak mengalami kerosakan serius," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Isnin.
Tambahnya, tindakan pemandu kereta itu membuatkan suspek berang lalu mengejar kereta tersebut sehingga ke Jalan Sungai Pinang.
"Ketika tiba di Jalan Sungai Pinang, suspek turun daripada motosikalnya lalu memukul kereta tersebut menggunakan topi keledarnya. Polis masih menyiasat arah kereta itu dipandu. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.
Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi satu minit 53 saat tular di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal itu mengejar kereta lalu memukulnya dengan topi keledar.
Di dalam video berkenaan, kedengaran seorang lelaki menyuruh seorang wanita dipercayai isterinya merakam keseluruhan kejadian sambil seorang kanak-kanak menangis sambil menjerit 'papa go papa' ketika dikejar suspek. — The Star/IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram