Kes 2 pelajar maut keracunan, KKM sahkan sarapan disediakan pengendali makanan luar


  • Primer
  • Selasa, 11 Jun 2024

Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun antara maut keracunan makanan di Gombak. — Gambar hiasan

NEGARA digemparkan dengan kes kematian dua pelajar dipercayai berpunca akibat keracunan makanan dikaitkan dengan sebuah sekolah di Gombak, Selangor.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, (JKNS) menerusi kenyataan pada Selasa mengesahkan kejadian tersebut.

Hasil siasatan dijalankan mendapati, seramai 82 orang telah mengalami gejala dengan dua kematian daripada 287 mangsa terdedah kepada kes tersebut.

BACA LAGI: Remaja dan budak perempuan maut keracunan makanan, dipercayai dibeli dekat sekolah di Gombak

BACA LAGI: [VIDEO] Ayah 4 anak maut terkena tembakan rambang suspek 'satu dolar' ketika memandu

"Kes mengalami gejala selepas memakan sarapan pagi dibekalkan kepada guru dan urus setia program oleh pengendali makanan dari luar.

"Keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa.

"Kes berlaku melibatkan urus setia, guru-guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berusia antara 1 tahun 7 bulan hingga 58 tahun dengan gejala utama dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya," ujarnya menerusi kenyataan.

Seramai 28 kes telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes dimasukkan ke wad.

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor melalui Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan akan melaksanakan siasatan terperinci berhubung kematian disyaki akibat keracunan makanan di Gombak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah mengarahkan bantuan segera diberikan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

"Pelajar berkenaan merupakan pelajar sebuah sekolah di daerah Gombak.

"Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan sedang melaksanakan siasatan terperinci,” katanya di Facebook pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram