Remaja dan budak perempuan maut keracunan makanan, dipercayai dibeli dekat sekolah di Gombak


  • 112
  • Selasa, 11 Jun 2024

Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun antara maut keracunan makanan di Gombak. — Gambar Hiasan

DUA termasuk seorang budak perempuan berusia dua tahun dilaporkan maut selepas mengalami keracunan makanan dikaitkan dengan sebuah sekolah di Gombak, Selangor.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kes pertama melibatkan remaja lelaki berusia 17 tahun selepas ibunya membawa pulang makanan daripada sekolah pada 8 Jun lalu.

BACA LAGI: Bekas Pengarah SRC percaya arahan Najib demi kebaikan negara, syarikat

BACA LAGI: [VIDEO] Ayah 4 anak maut terkena tembakan rambang suspek 'satu dolar' ketika memandu

"Selepas makan makanan tersebut, mangsa, ibu serta bapanya mengalami cirit-birit pada 10 Jun dan mangsa tidak sedarkan diri.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan pada Selasa (11 Jun).

Noor Ariffin berkata, kes kedua pula melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun.

“Pada Sabtu lalu, bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan telah membawa balik makanan daripada program di sebuah sekolah yang sama.

"Ibu mangsa mendapati anaknya demam, muntah serta cirit-birit lalu menghantar anaknya ke Hospital Selayang.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan oleh pegawai Hospital Selayang,” katanya.

Jelas beliau, mayat kedua-kedua mangsa telah dihantar ke Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat pengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 0125018901,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram