ISU pertukaran dan penggantian pengetua di sekolah berasrama penuh (SBP) di negara ini mungkin menjadi antara perkara yang membelenggu institusi pendidikan itu dalam diam.
Bagi SBP yang berstatus elit, nampaknya begitu mudah jawatan nombor satu itu diisi apabila terdapat kekosongan dalam organisasi pengurusannya.
Begitulah situasi yang berlaku apabila sebuah SBP elit di Ipoh, Perak memperoleh pengetuanya dalam tempoh dua minggu selepas pemimpin sekolah berkenaan meninggal dunia baru-baru ini.
BACA LAGI: Bekas penyerang Harimau Malaya, Apandi Yusuf meninggal dunia pada usia 73
Sayangnya, pengetua baharu itu diambil dari sebuah lagi SBP di Teluk Intan dan lantikan pengetua sekolah berkenaan didakwa dipengaruhi badan tertentu yang ada kaitan dengan sekolah tersebut.
Situasi itu bukan kali pertama berlaku bahkan Majoriti difahamkan ia sudah masuk kali kedua sehingga perkara tersebut membuatkan ramai ibu bapa kecewa.
Lebih merunsingkan mereka, SBP di Teluk Intan itu sudah berganti lebih tiga orang pengetua dalam tempoh tiga tahun.
Seorang bapa, Al-Abror Mohd Yusuf meluahkan rasa kurang berpuas hati terhadap situasi itu kerana menganggap ia berat sebelah apabila pertukaran tersebut dibuat dengan mudah seolah-olah tiada garis panduan.
Dia juga menggesa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.
"Ke hadapan tuan Abdul Aziz Mamat yang dihormati selaku Ketua Jabatan Sekolah Berasrama Penuh KPM.
"Setakat tiga tahun ini sudah dua kali sekolah di Ipoh ambil pengetua sekolah Teluk Intan. Adakah ini suatu garis panduan yang jelas atau tak tersurat tapi mengikat?.
"Apakah agaknya keistimewaan yang ada atau diberikan pada sekolah elit itu wahai KPM? Kalau memang lain dan berbeza daripada biasa, maka benarlah kita hidup dalam sistem dua darjat selama ini ya," katanya menerusi hantaran Facebook pada khamis.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diminta memberi penjelasan berhubung perkara itu. — Facebook/Al-Abror Mohd Yusuf
Sementara itu, difahamkan lagi bahawa kepimpinan sekolah kini dipangku oleh Penolong Kanan Pentadbiran Hal Ehwal Murid buat sementara waktu.
Majoriti turut difahamkan sebuah lagi SBP di Tapah mengalami nasib yang hampir serupa apabila operasi hariannya berjalan tanpa figura seorang pengetua.
Situasi double standard didakwa berlaku kerana penggantian pengetua di sekolah terbabit dibuat lewat sedangkan tempat itu sudah kosong selama tiga bulan.
Tidak macam di SBP Ipoh yang pengetuanya berganti dalam tempoh dua minggu sahaja.
Dalam pada itu, Al-Abror mendakwa, proses perpindahan tersebut sedikit sebanyak mengganggu dan memberi risiko terhadap prestasi serta keputusan peperiksaan sekolah.
"Tidak adakah langkah yang boleh diambil bagi memastikan pertukaran-pertukaran ini dikawal agar perancangan akademik boleh disusun dengan lebih baik," katanya.
Timbul persoalan adakah berlaku kekurangan calon pengetua SBP berkaliber yang mampu mengisi jawatan berkenaan.
Jika ada, SBP KPM seharusnya menjelaskan situasi tersebut kepada ibu bapa agar tidak timbul perkara yang kurang menyenangkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram