PENDUDUK di sekitar di sekitar kawasan Bandar Puncak Alam, Selangor kini dapat menarik nafas lega apabila persimpangan yang sering kali menjadi lokasi kemalangan maut akhirnya ditutup sementara pada Khamis.
Penutupan tersebut dilakukan berikutan aduan dan desakan penduduk setempat yang sudah lama berdepan dengan risiko keselamatan setiap kali melalui kawasan berkenaan.
Persimpangan yang dikenali sebagai 'Persimpangan Mario' itu sudah lama menjadi kebimbangan utama bagi penduduk tempatan. Keadaan ini semakin memburuk, dengan beberapa insiden terbaharu yang melibatkan kehilangan nyawa termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Bertindak pantas menyelesaikan isu tersebut, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli bersama-sama beberapa penduduk tempatan meletakan beberapa pengadang untuk menutup laluan itu buat sementara waktu pada Khamis.
Menurut Mohd Shaid melalui satu hantaran Facebook peribadinya pada Khamis, penutupan persimpangan ini adalah langkah sementara sehingga kerja-kerja menaiktaraf dan penambahbaikan sistem trafik dapat dilaksanakan.
Tambahnya lagi, beliau juga sudah berbincang dengan pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bagi mencari jalan penyelesaian isu tersebut sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan tersebut.
Tindakan Mohd Shaid disambut baik oleh penduduk setempat dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau kerana masih lagi berkhidmat untuk masyarakat di kawasan terbabit.
Malah ada juga dalam kalangan warga maya yang meninggalkan komen sinis dengan mendakwa wakil rakyat Jeram yang diundi rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu didakwa tidak menjalankan tugas dengan baik.
"ADUN dengan Ahli Parlimen 'tidur'. Selepas menang batang hidung pun sudah tak nampak," kata Hisham Hashim.
Seorang lagi warga maya, Sufiandi Muhammad turut meluah pendapat yang sama.
"Wakil rakyat pergi mana? Tak kan nak pejam mata sampai 'YB lama' yang kena selesaikan masalah penduduk? Kami undi bersebab, nak pemimpin selesaikan masalah penduduk," tulisnya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan penduduk di sekitar kawasan Bandar Puncak Alam, Selangor menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya untuk membina lampu isyarat di kawasan sebuah persimpangan yang dikenali 'Persimpangan Mario' dalam kalangan penduduk setempat.
Hal ini kerana kawasan tersebut kerap kali berlaku kemalangan sehinggakan ada yang meragut nyawa.
Isu itu menjadi semakin meruncing selepas seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan di persimpangan tersebut. Mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah meninggal dunia di tempat kejadian pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram