ADUN Jeram sudah lama turun padang, cadang ‘Simpang Mario’ ditutup selama-lamanya


  • Primer
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Harisson (gambar kecil) bersama pihak MPKS sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan di 'Simpang Mario' dekat Bandar Puncak Alam, Selangor.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan bersama pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan di 'Simpang Mario' dekat Bandar Puncak Alam, Selangor.

Ia adalah susulan daripada insiden kemalangan yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

Harisson berkata, beliau bersama pihak MPKS telah meninjau lokasi tersebut kira-kira tiga minggu yang lalu dan mengakui bahawa simpang tersebut berbahaya buat pengguna jalan raya.

BACA LAGI : Sudah beberapa kali ragut nyawa, penduduk Puncak Alam gesa PBT bina lampu isyarat di 'Persimpangan Mario'

BACA LAGI : 'Saya tak mahu dipersalahkan', Speaker jawab status 6 Ahli Parlimen BERSATU

"Saya telah mengemukakan beberapa cadangan kepada MPKS untuk mengurangkan risiko kemalangan di simpang tersebut.

"Antara cadangan tersebut termasuk pemasangan palang flexi post untuk memastikan kenderaan yang keluar masuk dari arah Mario dan keluar ke arah Proton tidak bertembung.

"Langkah ini juga melibatkan simpang masuk ke arah Alam Jaya," katanya kepada Majoriti.

366947216_133236859835233_6238422690050160329_n

Datuk Harisson Hassan

Tambahnya lagi, terdapat juga cadangan lain untuk menutup simpang tersebut secara kekal.

"Namun, MPKS sedang meneliti semua cadangan ini dari pelbagai sudut untuk memastikan langkah terbaik diambil demi keselamatan pengguna jalan raya.

"MPKS akan mengkaji perkara ini dengan teliti. Insya-ALLAH, kita akan melihat kemajuan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau juga berharap agar tindakan yang diambil nanti akan dapat mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan penduduk di sekitar kawasan Bandar Puncak Alam, Selangor menggesa MPKS untuk membina lampu isyarat di kawasan sebuah persimpangan yang dikenali 'Simpang Mario' dalam kalangan penduduk setempat.

Hal ini kerana kawasan tersebut kerap kali berlaku kemalangan sehinggakan ada yang meragut nyawa.

Isu itu menjadi semakin meruncing selepas seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kenderaan di persimpangan tersebut. Mangsa yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah meninggal dunia di tempat kejadian pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram