Tiada istilah SBP elit, tempoh pelantikan pengganti pengetua bergantung pelbagai faktor — KPM


  • Primer
  • Khamis, 30 Mei 2024

Sehingga kini, terdapat 71 buah SBP di seluruh negara yang dibahagikan kepada empat kategori. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa tiada mana-mana sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah pentadbirannya yang diberikan status elit dan mendapat layanan istimewa.

KPM dalam satu kenyataan kepada Majoriti memaklumkan, sehingga kini, terdapat 71 buah SBP di seluruh negara yang dibahagikan kepada empat kategori.

Maklumnya, ia merangkumi kategori SBP Premier, Sekolah Menengah Sains (SMS), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP).

BACA LAGI: Tiada campur tangan, pengaruh luar pertukaran pengetua SBP elit Ipoh — KPM

BACA LAGI: Sekolah berasrama penuh berstatus elit di Ipoh didakwa ada 'kuasa' pilih pengetua, ibu bapa minta KPM kawal pertukaran elak jejas prestasi pelajar

Majoriti sebelum ini melaporkan mengenai isu pertukaran melibatkan pengetua dari SBP di Teluk Intan ke SBP di Ipoh, Perak susulan kematian pengetua sebelumnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, di sebalik perpindahan itu, timbul dakwaan bahawa ia berlaku atas pengaruh badan tertentu yang ada kaitan dengan sekolah tersebut.

Ada segelintir pihak yang turut mempersoalkan, bagaimana SBP di Ipoh boleh memperoleh pengetuanya dalam tempoh dua minggu sahaja?

stok3

KPM menafikan kewujudan campur tangan atau pengaruh luar berhubung pertukaran pengetua di SBP di Ipoh.

Lebih menegangkan keadaan, SBP di Teluk Intan itu difahamkan sudah berganti lebih tiga orang pengetua dalam tempoh tiga tahun.

Difahamkan sebuah lagi SBP di Tapah mengalami nasib yang hampir serupa apabila operasi hariannya berjalan tanpa figura seorang pengetua.

Mengulas dakwaan tersebut, KPM menafikan kewujudan campur tangan atau pengaruh luar berhubung pertukaran pengetua di sekolah-sekolah berkenaan.

Menurutnya, bagi SBP di Tapah, pengetua baharu yang dilantik sudah pun memulakan tugas pada Isnin (27 Mei) lalu.

"Proses pelantikan pengetua sekolah menengah kebangsaan (SMK) ke SBP perlu melalui pelbagai proses seperti kelulusan pelepasan daripada pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berkenaan.

"Setelah diluluskan, ia perlu diangkat kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk mendapat kelulusan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) dan tandatangan Arahan Penempatan.

"Itulah sebabnya proses menggantikan pengetua daripada sekolah harian ke SBP agak mengambil masa berbanding pertukaran pengetua daripada SBP ke SBP yang berada dalam bidang kuasa Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP)," katanya.

stok5

Sekiranya JPA tidak meluluskan pemangkuan PKP sebagai pengetua di SBP di Teluk Intan, calon luar akan dipohon daripada JPN.

Menjelaskan mengenai situasi SBP di Teluk Intan pula, permohonan pelantikan pengetua sekolah berkenaan sudah dimajukan kepada BPSM untuk tindakan dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jelas KPM, pihaknya buat masa ini menghadapi kekurangan calon pengetua yang telah melepasi Program Kelayakan Profesional Pemimpin Kebangsaan (NPQEL).

Sebagai makluman, operasi harian SBP di Teluk Intan berada di bawah kendalian penolong kanan pentadbirannya (PKP) yang berperanan sebagai pemangku ketika ini.

Tambah kenyataan itu, sekiranya JPA tidak meluluskan pemangkuan PKP sebagai pengetua di SBP di Teluk Intan, calon luar akan dipohon daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk juga mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai pool (kumpulan) untuk lantikan pengetua," katanya.

Pengetua baharu yang dilantik di SBP di Tapah sudah pun memulakan tugas pada Isnin lalu.

Dalam perkembangan sama, ujar KPM, pelantikan pengetua baharu SBP di Ipoh bergantung atas beberapa faktor.

Justeru, adalah wajar untuk disegerakan pelantikan pengetua di pusat pendidikan itu bagi memastikan tatakelola sekolah berada dalam keadaan teratur dan terpelihara.

"Calon pengetua SBP Teluk Intan dihantar untuk kelulusan. Perlu tunggu keputusan. Tidak boleh hantar calon yang lain selagi tiada keputusan dibuat oleh BPSM/JPA," ulasnya.

Sebagai rekod, SBP Premier merujuk kepada sekumpulan sekolah asrama penuh terawal ditubuhkan. Kerajaan menggalakkan SBP Premier untuk meneruskan tradisi sekolah masing-masing bagi meneruskan kejayaan melahirkan pelajar bumiputera yang serba boleh dan berjaya.

Sehingga kini terdapat 11 buah sekolah yang tergolong dalam SBP Premier.

Sementara itu, konsep SMS mula ditubuhkan pada tahun 1973 apabila kemajuan pendidikan dalam kalangan murid luar bandar, khususnya bidang sains mendapat perhatian daripada pemimpin negara.

Sebanyak 10 buah SMS yang terawal dibina menerusi Rancangan Malaysia Kedua. Sehingga kini, terdapat 45 buah Sekolah Menengah Sains yang dibina di serata negara.

Konsep SBPI pula mula ditubuhkan pada tahun 2002 dengan menggabungkan tiga aliran iaitu Sains Tulen, Sains Tulen Agama dan Sains Teknikal. Sehingga kini terdapat 12 buah SBPI di seluruh negara.

Konsep SMAP ditubuhkan pada Januari 1982 atas cadangan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di KPM pada waktu itu, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Idea itu muncul kerana kesedaran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada ketika itu untuk membina sekolah Agama Islam di Kuala Lumpur. Sehingga kini terdapat tiga SMAP di Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram