CADANGAN untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) akan memberi tekanan langsung kepada pengguna khususnya daripada isi rumah berpendapatan B40.
Felo Penyelidik Kanan dan Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar berkata, cadangan itu perlu disokong kajian terperinci lebih-lebih lagi penyasaran subsidi diesel akan dibuat tidak lama lagi.
"Secara teorinya, ia adalah langkah yang tepat untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel namun kena lihat semula impaknya kepada golongan berpendapatan rendah.
"Kalau harga diesel diapungkan nanti, ia akan memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran dan pengangkutan beras, seterusnya mempengaruhi harga beras putih tempatan di pasaran," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Kenaikan harga siling beras putih tempatan masih dalam perbincangan — Mat Sabu
BACA LAGI: Harga beras putih import naik 36 peratus — Bernas
Shankaran berkata, dengan kenaikan harga siling, dijangka harga beras putih tempatan akan mendekati harga keseimbangan atau harga pasaran.
Menurutnya, ia merupakan langkah yang memberi isyarat bahawa kerajaan mengesan adanya kelebihan permintaan di pasaran dan berusaha untuk mengurangkannya.
Untuk itu, katanya, peningkatan pengeluaran domestik beras dengan memodenkan sektor pertanian melibatkan penanaman padi juga perlu diberi perhatian serius.
Dr Shankaran Nambiar
Pada masa sama, Shankaran berkata, selain itu, terdapat merit dalam hasrat untuk membawa harga beras lebih dekat dengan harga pasaran.
"Bagaimanapun, pelbagai faktor lain perlu diteliti dengan teliti sebelum sebarang tindakan diambil.
"Salah satu isu yang perlu diambil kira ialah entiti tunggal yang menjadi badan tunggal yang boleh mengimport beras.
"Penguasaan ini mungkin menyebabkan kekangan dalam pasaran yang boleh menjejaskan pengguna akhir," katanya.
Terdahulu, kerajaan masih dalam proses perbincangan berhubung cadangan untuk menaikkan harga BPT dan keputusan dijangka beberapa bulan lagi.
Pada November tahun lalu, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perbincangan antara semua pihak sedang berjalan dan tunggu beberapa bulan (akan) membuat keputusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram