LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) telah diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat lebuh raya tersebut yang dilaporkan mengalami keretakan baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi satu ciapan di laman X (Twitter) miliknya menegaskan memandang serius berkenaan isu tersebut.
"Saya telah mengarahkan @LLMrasmi dan syarikat konsesi lebuh raya SPE untuk turun ke tapak pada malam ini (Sabtu) juga bagi membuat pemeriksaan dan penilaian dengan kadar segera.
BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi nikmati panorama semulajadi, suami isteri lemas dibawa arus deras di China
"Keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya amat dititik beratkan," tulisnya.
Saya amat memandang serius perkara ini.
Saya telah mengarahkan @LLMrasmi dan syarikat konsesi lebuhraya SPE untuk turun ke tapak pada malam ini juga bagi membuat pemeriksaan dan penilaian dengan kadar segera.
Keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya amat... https://t.co/Eb7tl8WoRo
— Alexander Nanta Linggi (@AlexNantaLinggi) June 7, 2024
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada satu hantaran menerusi akaun X, @update11111 berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.
Untuk rekod, SPE dibuka sepenuhnya pada 3 November lalu dan mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.
Ciapan Menteri Kerja Raya itu turut mengundang perhatian dalam kalangan warga maya dan rata-rata meminta pihak yang terlibat menyelesaikan isu tersebut dengan segera kerana ia melibatkan nyawa pengguna.
"Baru dilancarkan setahun dah ada retak, mohon pihak berwajib selesaikan isu ini dengan segera. Ini melibatkan nyawa rakyat dan pengguna jalan raya. Tahniah Yang Berhormat (YB) peka dalam menangani isu semasa di laman media sosial ini," kata @Firdaus_Aman.
Sementara itu, @ameen7006 pula mencadangkan kontraktor yang bertanggungjawab untuk membina SPE dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
Panggil juga kontraktor yang diarahkan untuk membuat SPE dan tanya mereka kenapa keretakan ini boleh terjadi. Mereka sepatutnya bertanggungjawab juga," tulisnya.
Pada masa sama, @knizamkassim mencadangkan agar pemeriksaan berkala dilakukan.
"Buat lebih baik, lakukan pemeriksaan berkala di tempat yang berisiko atau kritikal. Jangan terhantuk baru nak tengadah," katanya.
@Kevin_dawn1 pula mempertikaikan bagaimana keretakan di SPE tersebut boleh berlaku.
"Yang hairan pada saya, kenapa benda ini dibiarkan sampai rakyat yang buat aduan? SPE bukan kawasan bebas tol. Mereka tak buat pemeriksaan berkala ke?
"Kalau baru berlaku saya faham tetapi keretakan itu sudah berlarutan selama beberapa bulan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram