Kenaikan harga siling beras putih tempatan masih dalam perbincangan — Mat Sabu


  • Primer
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga yang rendah. — Gambar hiasan

CADANGAN kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) masih sedang dibincangkan, sebelum keputusan dibuat dalam beberapa bulan lagi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

"Perbincangan antara semua pihak sedang berjalan dan tunggu beberapa bulan (untuk) membuat keputusan," katanya memetik laporan Sinar Harian pada Jumaat, selepas Majlis Pelancaran 'Blueprint' Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan cadangan isu harga siling BPT dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu terutama pesawah.

BACA LAGI: Harga beras putih import naik 36 peratus — Bernas

BACA LAGI: Bukan deposit tetap mana-mana parti, PRK Sungai Bakap mungkin saksikan persaingan terbuka 4 penjuru

Pada November tahun lalu, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.

Kenaikan harga siling BPT penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan berikutan pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga yang rendah.

Mohamad berkata, bekalan beras tempatan masih stabil.

Mengulas lanjut mengenai rungutan kekurangan bekalan beras tempatan, jelas Mohamad, tindakan segera telah diambil bagi memenuhi permintaan.

Menurutnya, bekalan beras tempatan masih stabil namun selagi negara mengimport lebih kurang 38 peratus makanan ruji itu, maka akan berlaku peningkatan harga.

Ujarnya lagi, kemarau yang berpanjangan di Kelantan juga dikhuatiri akan menjejaskan hasil tahun ini dan seterusnya.

"Perkara tersebut sedang dibincangkan secara serius dengan semua pihak terlibat untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung isu itu," jelasnya.

Sementara itu, menyentuh tentang 'Blueprint' Keterjaminan Makanan UPM, Mohamad berkata, universiti berkenaan secara khusus menggariskan dan melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan teknologi, benih serta kaedah penanaman baharu menerusi pelan tindakan itu.

Jelas beliau, pelan tindakan itu juga akan melibatkan penambahbaikan gerak kerja pemodenan sektor pertanian berkonsep pintar sebagai elemen utama di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dari segi penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan.

"Penglibatan UPM boleh membantu dalam memfokuskan pendekatan berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan, selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram