Bukan deposit tetap mana-mana parti, PRK Sungai Bakap mungkin saksikan persaingan terbuka 4 penjuru


  • Politik
  • Sabtu, 01 Jun 2024

Setakat ini, dua parti yang menyatakan kesediaan untuk bertanding ialah PAS dan juga PKR. — Gambar hiasan

DALAM tempoh dua bulan akan datang, politik negara akan berdepan satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang terletak di Pulau Pinang.

Perkembangan tersebut terpaksa dilangsungkan selepas kerusi berkenaan mengalami kekosongan susulan penyandangnya, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin lalu memaklumkan mereka sudah menerima makluman mengenai kekosongan luar jangka yang berlaku di kawasan tersebut susulan pemergian penyandangnya.

BACA LAGI: Usia 60 tahun tak jadi penghalang, anak Sarikei jadi orang Sarawak pertama tawan Everest

BACA LAGI: Kerajaan tidak akan perkenal cukai baharu — Anwar

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ,kekosongan kerusi itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan dipastikan oleh pihaknya, sebagaimana diperuntukkan bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Pada masa sama, suruhanjaya terbabit memaklumkan satu mesyuarat khas bakal diadakan pada 6 Jun depan bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya meliputi tarikh penamaan, tempoh berkempen dan hari pengundian.

Meskipun waktu berkempen bagi PRK Sungai Bakap masih belum bermula, namun kehangatan suhu politiknya dilaporkan kini sudah boleh mula dirasai di kawasan tersebut.

Di media sosial, beberapa pihak dilihat sudah pun memulakan usaha bagi menarik sokongan antaranya dengan melancarkan tanda pagar seperti #SgBakapKitaKekal yang dipercayai merujuk kepada usaha mengekalkan penguasaan PAS di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat juga tanda pagar #JomKalihBagiSama yang difahamkan digunakan oleh penyokong Kerajaan Perpaduan dalam usaha mereka mencari sokongan untuk merampas kerusi berkenaan.

Untuk rekod, arwah Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal memenangi DUN Sungai Bakap dengan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dalam persaingan dua penjuru dengan majoriti 1,563 undi.

Sejarah persaingan di kerusi tersebut menyaksikan ia pada awalnya dimenangi oleh MCA yang ketika itu berada bersama Barisan Nasional (BN) apabila ia kali pertama dipertandingkan pada 1959.

2712263

Allahyarham Nor Zamri meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Bagaimanapun, ia bertukar tangan beberapa kali antara parti yang berasingan antaranya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) yang mula memenangi kawasan tersebut bermula pada 1971 dan menguasainya selama sembilan penggal sehingga 2004.

Namun, penguasaan itu mula berubah selepas ia mula beralih kepada Umno (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) 2004.

Selepas tamat satu penggal, kerusi berkenaan kemudiannya bertukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU12 dengan parti tersebut kekal memenangi kerusi tersebut dalam PRU seterusnya iaitu PRU14.

Persaingan di DUN Sungai Bakap dilihat sangat terbuka dengan jumlah majoriti kemenangan yang direkodkan sejak PRU9 pada 1997 secara puratanya tidak pernah mencecah 3,000 undi.

Setakat ini, dua parti yang menyatakan kesediaan untuk bertanding ialah PAS daripada Perikatan Nasional (PN) dan juga PKR yang ketika ini bersama Pakatan Harapan (PH).

Namun, calon yang bakal bertanding dijangka bertambah dengan mengambil senario PRU14 yang menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon daripada PH, BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Pada PRU lepas, komposisi pengundi kerusi berkenaan terbahagi kepada 59.4 peratus pengundi kaum Melayu, 22.5 peratus (Cina), 17.4 peratus (India) dan 0.7 peratus lain-lain kaum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram