SEORANG lelaki yang melarikan sebuah kenderaan jenis Honda City di stesen minyak dekat Semambu, Kuantan, Pahang pada Selasa berjaya diberkas pihak berkuasa.
Memetik laporan Sinar Harian, suspek berusia 40 tahun itu sempat tidur hampir tiga jam di sebuah rumah yang dicerobohnya di Kampung Chinta Manis di Karak, Bentong sebelum ditahan polis pada Rabu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 12.45 tengah malam selepas pemilik rumah yang didiami pasangan suami isteri dan tiga anak berusia 3 hingga 12 tahun menghubungi pihak polis.
BACA LAGI: Bangunan Motac terima ancaman bom, kakitangan diarah kosongkan bangunan
BACA LAGI: Sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan bergantung kepada hasil siasatan — Ketua Polis Selangor
Menurutnya, berdasarkan keterangan pemilik rumah, lelaki berkenaan datang dan terus masuk ke dalam rumah kira-kira pukul 10 malam.
"Suspek kemudian mengurung penghuni rumah di dalam sebuah bilik lalu tertidur di ruang tamu, sementara pemilik bertindak menghubungi pihak polis.
"Suspek yang beralamat di Sungai Isap, Kuantan itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dalam kes dadah dan jenayah dan kali terakhir dibebaskan dari penjara pada tahun lepas," katanya pada Rabu.
Jelas Yahaya, ketika tangkapan dibuat, pihak polis turut membuat rampasan ke atas suspek termasuk satu unit kawalan jauh kereta, seutas jam tangan jenama Bonia, dua gunting, pisau dan telefon bimbit jenama Vivo.
Ujarnya, suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian motosikal dan kereta jenis Honda di Kuantan.
"Kereta tersebut ditinggalkan di pasar awam Karak dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Kenderaan berkenaan tidak mengalami kerosakan, hanya terdapat kesan calar di beberapa bahagian selepas tampalan poster dipercayai dikikis suspek bagi mengelak ia dikesan.
"Suspek kemudian menumpang orang awam ke kampung tersebut sebelum menceroboh rumah penduduk," katanya.
Tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.
"Suspek direman selama dua hari bermula Rabu dan polis turut menghargai kerjasama orang ramai dalam kes tersebut," jelasnya.
Suspek berjaya diberkas pihak berkuasa pada Rabu. — Gambar hiasan
Majoriti pada Selasa melaporkan, polis memburu suspek yang terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Semambu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari berkata, suspek menurunkan penumpang di tepi jalan kira-kira 400 meter dari tempat kejadian dan terus melarikan kereta Honda City milik seorang akauntan wanita berusia 38 tahun.
Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu berlaku ketika mangsa yang beralamat di Sentul, Kuala Lumpur bersama bapa, 77, dan ibunya, 66, yang juga pesara guru berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak serta ke tandas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram