PADIBERAS Nasional Bhd (Bernas) mengumumkan kenaikan harga beras putih import daripada RM2,350 kepada RM3,200 bagi setiap tan metrik bermula pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Bernas berkata, pelarasan harga bagi beras putih import di seluruh gudangnya di seluruh negara adalah sejajar dengan harga global semasa bagi beras putih import.
“Bernas berdepan separuh pertama tahun yang mencabar berikutan faktor yang tidak dapat diramalkan seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik di rantau ini.
"Faktor-faktor tersebut secara kolektif meninggalkan kesan ketara dalam pasaran dagangan global, kemudian ditambah lagi dengan larangan eksport beras putih oleh India," katanya.
Dalam pada itu, Bernas menjelaskan bahawa pihaknya sudah melaksanakan penyerapan kos kenaikan harga beras putih import sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi mengelakkan peningkatan harga bahan asas makanan tersebut.
India yang merupakan pengeksport beras terbesar dunia menyekat penghantaran beras putih bukan basmati pada 20 Julai lalu. — Reuters
Bagaimanapun, syarikat itu berkata, pelarasan harga terkini itu tidak dapat dielakkan disebabkan keadaan semasa yang tidak menentu di samping turut mengambil kira keperluan memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri.
Ujar kenyataan itu lagi, Bernas akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, agensi, pihak berkuasa berkaitan serta rakan perdagangan antarabangsa bagi memastikan bekalan beras yang stabil untuk Malaysia.
“Walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan semakin mencabar, Bernas kekal utuh dan berdaya saing.
“Kami juga mengambil langkah sewajarnya untuk menambah baik dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk. Ini adalah peranan kami sebagai pengimport tunggal untuk padi dan beras negara," katanya.
Pada 20 Julai lalu, India yang merupakan pengeksport beras terbesar dunia menyekat penghantaran beras putih bukan basmati untuk mengekalkan harga domestik di negara itu pada paras selesa menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada awal 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram