KAKITANGAN dan pelawat di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Putrajaya diarahkan mengosongkan bangunan susulan dakwaan ancaman bom di bangunan tersebut pada Rabu.
Memetik laporan Astro Awani, bom itu disyaki diletakkan di tingkat 14 bangunan berkenaan.
Insiden itu turut dikongsi Penolong Kanan Naib Presiden, Kandungan Berjenama, Astro Awani, Zaiful Mohd Ariffin yang berada di lokasi kejadian bagi menghadiri satu mesyuarat.
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kereta tersadai tepi semak di Pontian, rupanya ada mayat di kerusi tempat duduk
Zaiful memberitahu, bungkusan tersebut difahamkan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran.
"Kakitangan kementerian telah melihat bungkusan tersebut dan ia dilihat seperti bom. Ketika ini kita masih belum tahu mengenai bungkusan tersebut.
"Tetapi sebagai langkah keselamatan, kakitangan diarahkan untuk mengosongkan bangunan tersebut," katanya.
A Asmadi
Sementara itu, polis mengesahkan bungkusan didakwa mengandungi bom yang dihantar di Motac adalah ancaman palsu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, A Asmadi Abdul Aziz berkata, perkara itu disahkan selepas pemeriksaan menyeluruh oleh Unit Pemusnah Bom yang menggunakan dua ekor anjing pengesan dan teknologi.
A Asmadi berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), bungkusan tersebut dihantar melalui kurier pada pukul 11.19 pagi dan dibawa naik ke tingkat 14 pada pukul 2.45 petang.
Jelasnya, apabila dibuka, pihaknya mendapati ia diletakkan bersama paip PVC (polyvinyl chloride), wayar dan 'timer'.
"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Letupan dan Bahan Api 1957.
"Kita akan lihat segenap sudut termasuk ketenteraman awam dan ugutan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram