Anak dikejar 'ah long', bapa usia 67 tahun terpaksa kerja e-hailing langsai hutang RM240,000


  • 112
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Wong Yock Sang dan keluarganya ketika sidang media anjuran Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA pada Khamis.

SEORANG bapa berusia 67 tahun berkongsi kisah duka susulan anaknya yang didakwa ketagihan berjudi dan kerap meminjam duit dari pemberi pinjaman wang tanpa lesen (ah long).

Wong Yock Sang berkata, anak lelakinya yang berusia 35 tahun itu merupakan kaki judi dan memiliki banyak hutang bagi menampung gaya hidup mewahnya.

"Saya kehabisan wang simpanan untuk melangsaikan hutang RM240,000 pada 2019 kerana dia berjanji untuk berubah.

BACA LAGI: 'Ah long' silap orang, wanita sengsara rumah dan kereta kena simbah cat merah di Semenyih

BACA LAGI: 'Jiran yang berhutang, orang lain dapat cat merah'

"Malah saya terpaksa mencari kerja sebagai pemandu e-hailing kerana wang simpanan sudah tiada," katanya pada sidang media anjuran Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA pada Khamis.

Wong berkata, sebaik kesemua hutangnya dilangsaikan, anaknya dihantar ke pusat pemulihan.

"Namun, pada 2 Jun lalu saya dapati ada individu menyebarkan gambar anak saya dan isteri di Facebook dengan kapsyen 'dikehendaki'.

"Saya juga menerima panggilan daripada anak yang lain memberitahu ada ah long menghubunginya dan meminta hutang daripada abangnya sebanyak RM12,000.

"Ah long itu mengugut akan menghantar geng samseng untuk buru kami jika hutang gagal diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, Wong difahamkan turut menerima kiriman mesej Whatsapp mengatakan anak lelakinya itu berhutang sebanyak RM1,200.

"Sejujurnya, saya tidak tahu berapa banyak ah long yang dia berhutang.

"Sukar untuk memutuskan hubungan saya dengan anak saya. Ia menyakitkan hati tetapi saya terpaksa melakukannya,” katanya, sambil menambah bahawa dia telah membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram