[VIDEO] 'Ah long' silap orang, wanita sengsara rumah dan kereta kena simbah cat merah di Semenyih


  • Tular
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Sebuah kediaman di Semenyih, Hulu Langat, Selangor disimbah cat merah dipercayai perbuatan 'Ah long'.

SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila kediamannya di Semenyih, Hulu Langat, Selangor disimbah cat merah dipercayai perbuatan pengutip hutang ataupun 'ah long' pada Jumaat.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Rozanah, menerusi hantarannya di Facebook menjelaskan, dia turut menerima sekeping nota ugutan daripada individu terbabit.

Namun, perbuatan itu difahamkan ditujukan kepada bekas pemilik rumah tersebut yang dipercayai berhutang dengan pihak berkenaan.

"Kejadian ini baru pertama kali kami alami, hampir tidak bernafas dibuatnya.

"Kami baru berpindah di Villa Impiana pada Mei lalu, tetapi rumah kami disimbah cat merah bersama nota ugutan.

"Kepada orang yang melakukan perbuatan ini saya ingin memaklumkan bahawa kamu tersalah orang sebab orang yang kamu cari itu adalah bekas penyewa rumah ini," ujarnya di laman Facebook.

Dalam pada itu, nota itu turut meninggalkan ugutan keras yang membakar rumah berkenaan sekiranya enggan melunaskan baki hutang.

"Amaran terakhir, jika tak nak selesaikan hutang awak jangan cabar saya, jangan sampai saya bakar rumah awak," tulis nota tersebut.

Berdasarkan imej dikongsikan, jelas menunjukkan beberapa kawasan seperti bahagian dinding, pagar, lantai serta belakang kereta wanita terbabit turut terkesan dengan simbahan cat tersebut.

Susulan kejadian itu, Rozanah difahamkan telah membuat laporan polis dan dalam masa sama mengharapkan supaya individu yang berhutang dengan 'ah long' terbabit segera tampil menyelesaikan bayaran tertunggak agar keselamatan mereka tidak terganggu lagi.

Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram