AKTIVITI penjualan rokok elektronik ataupun vape dalam kalangan pelajar kian meresahkan masyarakat.
Lebih parah apabila perisa barangan terlarang seperti ganja, turut menjadi kegilaan golongan itu apabila ia semakin mudah didapati di pasaran.
Premis vape di sekitar lembah Klang didapati menjalankan aktiviti jualan vape ganja secara tersembunyi melalui kod 'titik' yang tidak diketahui ramai.
BACA LAGI: Penggunaan dadah meningkat selepas Covid-19 khususnya ubat kuat lelaki, kandungan cecair vape
Perkara itu didedahkan seorang peniaga vape di Klang, Selangor dengan rata-rata pembeli menggelarnya sebagai 'titik'.
"Kalau siapa yang biasa beli vape ganja, mereka akan panggil 'titik', sebut je 'titik' dekat kedai vape semua tahu ia perisa ganja.
"Tak kira pelajar sekolah ataupun orang dewasa semuanya memang tahu 'titik' hanya boleh dibeli dekat kawasan tertentu.
"Kalau beli secara online pun penjual guna nama titik, tapi sekarang mungkin dah ramai yang tahu sebab bersepah dijual," katanya yang enggan identitinya dikenali.
Tinjauan Majoriti di beberapa premis vape mendapati, perisa bahan terlarang itu tidak dijual dalam premis, sebaliknya diedarkan kepada individu tertentu digelar sebagai 'tokan'.
Antara cecair vape yang dijual di sebuah premis di Klang.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia, Mohd Hafiz, menggesa pihak penguat kuasa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera menjalankan serbuan terhadap premis vape di sekitar Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihaknya sebelum ini pernah menyuarakan pendapat berhubung isu vape perisa haram di sekitar Sentul, Kuala Lumpur tetapi masih tiada tindakan diambil.
"Pihak kami sebelum ini pernah ketengahkan isu jualan vape terutamanya kepada golongan anak-anak melayu dan pelajar sekolah, terlalu meluas sangat dah jualannya.
"Malah sekarang timbul pula isu perisa ganja yang mana kita tahu pembeli menjadikan ia sebagai alternatif baharu untuk mengambil bahan terlarang melalui vape.
"Pihak berkuasa tempatan dan DBKL perlu celik mata tentang isu ini, tak ramai yang tahu sebab undang-undang membolehkan jualan vape secara terbuka tetapi, wujudnya sisi gelap yang membuat duit dengan cara terlarang," katanya kepada Majoriti.
Vape perisa ganja dijual secara meluas di laman sosial.
Untuk rekod, polis baru-baru ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan penjualan ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik di Melaka.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, suspek berusia 45 tahun bekerja sebagai penghantar barang ditahan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah Selatan pada 27 Mac lalu.
Polis merampas dadah jenis ganja seberat 41.28 kilogram serta 300 unit cecair ganja untuk digunakan bersama vape bernilai RM130,971. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram