Azmin dan Hamzah belum cukup syarat, tiada keperluan tanding rebut jawatan Timbalan Presiden BERSATU — Wan Saiful


  • Politik
  • Selasa, 21 Mei 2024

Wan Saiful (kanan) berkata, isu mengenai pelan peralihan kepimpinan di dalam Bersatu sudah pun dibincangkan partinya menerusi pemukiman MPT yang diadakan pada penghujung Februari lalu. — Facebook/WanSaifulWanJan

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan tiada keperluan bagi partinya untuk mengadakan pertandingan merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan akan datang.

Beliau berkata, isu mengenai pelan peralihan kepimpinan di dalam BERSATU sudah pun dibincangkan partinya menerusi permukiman MPT yang diadakan pada penghujung Februari lalu.

Ujarnya, perbincangan mengenai perkara tersebut berjalan dengan baik dan terbuka tanpa sebarang percanggahan.

BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR

BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel

"Secara ringkasnya, MPT BERSATU sebulat suara memberi sepenuh kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin (Presiden BERSATU) untuk berbincang lebih terperinci dengan beberapa tokoh dalam parti mengenai hal ini, terutamanya dengan Datuk Seri Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Datuk Seri Azmin Ali.

"Perkara ini juga disepakati tanpa percanggahan," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Disebabkan itu, Wan Saiful berkata, beliau secara peribadi berpandangan tiada keperluan untuk perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden BERSATU.

2406849

BERSATU dijangka mengadakan pemilihan MPT dan bahagian pada tahun ini.

Sebaliknya, beliau berkata, parti itu perlu menguatkuasakan Perkara 14.14 Perlembagaan parti supaya kelonggaran dapat diberikan kepada mana-mana individu belum layak tetapi diperlukan untuk menggalas amanah jawatan tertinggi.

Ujarnya, Perkara 13.7 Perlembagaan BERSATU menyatakan syarat kelayakan untuk lima jawatan tertinggi parti ialah seseorang Ahli Biasa itu mestilah telah memegang sama ada jawatan MPT atau jawatan Ketua Bahagian selama lengkap dua penggal.

Katanya, peruntukan tersebut dilihat menimbulkan kejanggalan khususnya kerana ada dalam kalangan pemimpin di jawatan tertinggi parti itu tidak memenuhi syarat tersebut.

"Datuk Seri Ronald Kiandee mungkin tidak layak mempertahankan jawatan Naib Presiden yang kini beliau sandang. Beliau hanya diberi kelonggaran melalui Perkara 14.14 dalam pemilihan lepas.

"Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin juga mungkin tidak layak. Semangat mahabbah permukiman MPT yang memberi mandat Tan Sri Muhyiddin memimpin perbincangan akan menjadi tidak relevan kerana hanya Datuk Seri Faizal Azumu (Timbalan Presiden) seorang saja yang layak," ujarnya.

BERSATU dijangka mengadakan pemilihan MPT dan bahagian pada tahun ini.

Untuk rekod, Muhyiddin ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU pada 25 November lalu mengumumkan menyatakan beliau akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan akan datang.

Ia selepas perwakilan BERSATU di seluruh negara meluluskan usul bagi menolak keputusan beliau yang sebelum itu memutuskan tidak mempertahankan jawatan presidennya dalam pemilihan parti akan datang.

Pada masa sama, Faizal yang kini memegang kedudukan selaku Timbalan Presiden mengumumkan pendirian untuk tidak mencabar jawatan Presiden BERSATU.

Beliau yang lebih dikenali sebagai turut tidak memberikan pendirian jelas sama ada akan mempertahankan kedudukanya selaku Timbalan Presiden BERSATU. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram