TUJUH wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menerima notis parti tersebut berisiko kehilangan kerusi masing-masing sekiranya mereka gagal untuk memberikan maklum balas terhadap surat arahan yang diterima.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, notis tersebut dilihat mempunyai arahan khusus perlu dipatuhi oleh wakil rakyat terbabit yang juga merupakan ahli parti berkenaan.
Jika dirujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, kita dapat fahami bahawa kedudukan Ahli Parlimen dan ADUN yang tidak lagi memberi sokongan kepada Bersatu dan gagal mematuhi notis dikemukakan partinya tertakluk kepada risiko hilang kerusi.
"Ini kerana di dalam notis tersebut terdapat arahan khusus perlu dipatuhi dan kegagalan mematuhi arahan berkenaan menjadikan mereka tidak lagi dianggap sebagai anggota BERSATU," katanya kepada Majoriti.
Pada 17 Mei lalu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu yang berpaling tadah diberi tempoh 14 hari mulai Jumaat untuk menjawab ‘surat arahan’ daripada kepimpinan parti.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin
Menerusi surat tersebut, beliau berkata, terdapat arahan tambahan dalam surat bertarikh 17 Mei yang dihantar melalui e-mel, kurier dan diserahkan secara peribadi kepada semua wakil rakyat terlibat.
Tambahnya, surat itu juga menyebut dengan jelas bahawa Perikatan Nasional (PN) akan kekal sebagai pembangkang dan akan membawa suara rakyat ke Parlimen.
Ujar Hamzah, wakil rakyat BERSATU juga diingatkan bahawa keahlian parti mereka akan dihentikan jika mereka didapati mengisytiharkan sokongan kepada parti lawan.
Enam Ahli Parlimen BERSATU yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).
Pada 6 Mac lepas, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang juga bekas Pengerusi BERSATU Selangor pula menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Mac lalu.
Untuk rekod, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan menggariskan dua sebab seseorang Ahli Dewan Rakyat perlu mengosongkan kerusi dimenanginya dalam pilihan raya.
Ia melibatkan tindakan wakil rakyat melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik, atau calon Bebas yang bertindak menyertai parti politik sebagai ahli.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi, Perkara 49A secara asasnya menyatakan kedudukan seseorang anggota Dewan itu akan terlucut kedudukannya sekiranya dia yang pertama, mengisytiharkan keluar parti dan kedua, tidak lagi menjadi anggota parti.
"Jadi dalam situasi berlaku ini, sekiranya mereka tidak menjawab atau gagal mematuhi notis itu, maka mereka termasuk kategori kedua, tidak lagi menjadi anggota parti dan tertakluk kepada kehilangan kerusi masing-masing," ujarnya.
Disebabkan itu, beliau berkata, BERSATU boleh menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai pengosongan kerusi terbabit jika wakil rakyat berkenaan masih tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap notis yang dihantar.
Jelasnya, situasi itu dijangka membawa kepada berlangsungnya pilihan raya kecil dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram