Sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan bergantung kepada hasil siasatan — Ketua Polis Selangor


  • 112
  • Selasa, 04 Jun 2024

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perlanjutan tempoh tahanan reman ke atas ibu bapa Zayn Rayyan bergantung kepada keputusan siasatan. — Bernama

PERMOHONAN lanjutan tempoh tahanan reman ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin bergantung kepada keputusan siasatan yang sedang dilaksanakan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan ke atas pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu masih diteruskan.

"Perlanjutan tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan adalah bergantung kepada keputusan soal siasat yang sedang dikendalikan polis ke atas pasangan suami isteri itu dalam tempoh reman pertama yang akan tamat pada 7 Jun ini," katanya.

BACA LAGI: Warga emas maut ditikam anak saudara dengan gunting di Kuching

BACA LAGI: Ada beri sebab, peguam Mahmud Jumaat tak lagi wakili ibu bapa Zayn Rayyan bermula Selasa

Zayn Rayyan

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada pukul 9 malam 6 Disember lalu.

Dalam kejadian pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan mengenai kehilangan anak autisme itu di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor sebelum mayatnya ditemui di anak sungai yang terletak 200 meter dari apartmen Idaman kira-kira pukul 9 malam.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut pada awal siasatan sebelum dikategorikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil bedah siasat menyimpulkan anak itu dibunuh apabila menemui kesan kecederaan di leher dan badan mangsa.

Ditanya sama ada polis menemui sebarang petunjuk baharu dalam kes kematian Zayn Rayyan, Hussein berkata, ia masih dalam siasatan polis.

Pada 31 Mei lalu, ibu bapa kepada kanak-kanak autisme itu ditahan polis di rumah keluarga mereka yang terletak di Puncak Alam, Selangor sekitar pukul 11 pagi.

Polis turut memanggil tiga individu termasuk bekas pengasuh Zayn Rayyan. — The Star/JUSTINZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram