KESUMA bentang laporan interim penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu


  • Primer
  • Selasa, 04 Jun 2024

Steven (tengah) ketika menghadiri Majlis Pemeteraian SKSPS dan Pemeteraian MoU antara KESUMA PERKESO bersama Grab Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) akan membentangkan laporan interim penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian akan melaksanakan perincian dengan lebih lanjut berdasarkan input tambahan yang diperoleh dalam mesyuarat itu, sebelum Laporan Akhir dibentangkan pada Ogos nanti.

Menurutnya, KESUMA diberikan mandat untuk merealisasikan penubuhan sebuah suruhanjaya pekerja gig oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA LAGI: Sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan bergantung kepada hasil siasatan — Ketua Polis Selangor

BACA LAGI: Ada beri sebab, peguam Mahmud Jumaat tak lagi wakili ibu bapa Zayn Rayyan bermula Selasa

WhatsApp Image 2024-06-04 at 13.43.10

Steven Sim ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.

"Selepas mendapat mandat tersebut, kita bekerjasama dengan pasukan perunding dari Universiti Malaya (UM).

"Dalam masa kira-kira dua bulan sahaja, esok (Rabu) kita akan membentangkan laporan pertama dalam mesyuarat majlis Jemaah Menteri.

"Kita akan dapatkan maklum balas daripada Kabinet terhadap (rangka kerja) setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pemeteraian Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Pemeteraian MoU antara KESUMA PERKESO bersama Grab Malaysia di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai Bulan Pemutihan PERKESO, Steven memaklumkan, dalam tempoh seminggu pengumuman lanjutan dibuat, berlaku penambahan hampir 50 peratus dari segi majikan yang mendaftar dan jumlah pekerja yang dicarum.

Ujarnya, undang-undang bukan setakat bertujuan menghukum, sebaliknya untuk menggalakkan lebih ramai majikan menjalankan tanggungjawab memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja.

"Jadi kita telah memanjangkan tempoh pengampunan kepada majikan yang belum mendaftar atau membayar caruman.

"Peningkatan ini adalah satu petanda yang baik, saya harap lebih ramai majikan akan tampil untuk mendaftar dan membayar caruman pekerja mereka sebelum 30 Jun tahun ini," jelas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram